Sebenarnya dia adalah malaikat yang menyamar. Aku tahu itu
waktu dia minta diri untuk pulang. Saat dia melangkah pergi, ada sepasang sayap
tumbuh di belakangnya. Dia lalu terbang ke langit, dan itulah kali terakhir aku
melihat dia.
Pernah sekali aku tanya dia tentang kematian, tentang
bagaimana rasanya mati. Dia hanya ketawa sambil menutup bibirnya yang manis.
“Seluruh dunia akan kelihatan kabur, dan saat itu barulah
kau benar-benar sendiri” katanya.
“Jadi itu yang kau rasa, sendiri?” aku tidak pasti.
“Seperti berdiri di tengah padang yang luas, dan rumputnya
mulai pudar. Dari hijau, perlahan-lahan jadi putih, kemudian transparen, lalu
jadi hitam dan terus hilang. Rasanya sakit, it depends.” Dia sambung.
Aku diam dan biarkan saja suasana jadi sunyi. Dia keluarkan
kotak rokok dari beg sandangnya, kemudian dia bakar sebatang. Rokok itu dia sedut
dalam, lalu terbatuk-batuk. Aku ketawa melihat dia. Dia mana pernah merokok
sebelum ini.
“Kau malaikat?” aku tanya dia yang sepertinya pening
gara-gara asap rokok yang masih baru bersuai-kenal di paru-parunya.
“Tak. Kan aku sudah bilang yang aku ini orked biru.”
“Ah kau tipu. Orked biru mana mungkin hidup panas-panas
begini.” Aku kata sambil ambil rokok yang dibiarkan di jarinya. Aku sedut rokok
itu dan aku dapat rasa bibirnya pada bibir ku.
“Suka hati kau lah.” Dia jawab antara endah tak endah.
“Jadi, sebelum kau mati, kau apa?” aku tanya dia.
Dia pandang aku. Dalam. Lalu matanya dialihkan jauh ke
langit petang.
“Suzy” dia jawab pendek.
***
Suzy memandang langit yang petang itu entah mengapa dirasakan
berwarna merah, padahal ia tetap biru seperti biasa. Di stesen lrt yang tak
pernah surut dengan manusia itu, dia biarkan saja hatinya melayang jauh. Di
tepinya ada seorang lelaki yang kau tak perlu tahu namanya. Di atas kepalanya
ada halo, dan dia punya sayap warna hitam.
“Begini. Apa kata kita main Rolet Rusia?” tanya lelaki itu.
“Rolet Rusia? Kau gila!” Suzy jawab dengan nada yang
terkejut.
“Come on lah! Suzy yang aku kenal tak akan takut dengan
cabaran” kata lelaki itu yang kelihatan sangat bersungguh.
Suzy diam sekejap. Dagunya diusap lagak pemikir.
“Kalau aku menang?”
“Kalau kau menang, kau cakap saja cinta siapa kau mahu, dan
aku akan panahkan busur ini tepat ke jantungnya, dan dia akan jadi milik kau
selama-lamanya.” Kata lelaki itu sambil menganjurkan busur di tangan kirinya ke
udara.
“Sungguh? Kalau lelaki itu yang aku mahu, macam mana?” Suzy
tunjuk ke arah poster filem di dinding
stesen lrt yang memaparkan seorang mat saleh sedang memegang sepucuk pistol.
“Hey, tak percayakan aku?” tanya lelaki itu.
Suzy senyum. Dia tahu lelaki itu tak menipu.
“Baiklah. Mana pistolnya?” tanya Suzy.
“Nanti, kau tak mahu tahu apa yang jadi kalau kau tewas?”
“Tewas maknanya mati, kan?” jawab Suzy.
“Tak semudah itu” lelaki itu senyum ringkas.
“Habis?” Suzy bingung.
“Tengoklah macam mana” kata lelaki itu sambil mengeluarkan
sepucuk revolver entah dari mana. Sebutir puluru di masukkan, dan dia ………………………………………………………………………………..
(aku tak tahu nak terangkan bagaimana, tapi disini lagak lelaki itu seperti
adegan mengisi peluru dalam filem koboi)
Revolver itu dihulurkan kepada Suzy. Suzy ambil dengan
tenang. Wajahnya langsung tak berekspresi. Tapi jantungnya ada getar, sedikit,
dan ia terlihatkan oleh matanya yang berhenti bersinar.
Suzy halakan revolver itu ke dalam mulutnya, dan tiba-tiba
aku rasa janggal dengan cerita ini kerana orang yang lalu-lalang langsung tidak
perasan. Ah, anggap saja kejanggalan ini sebagai satu lubang hitam yang tak kau
pedulikan.
Jadi Suzy, dia tarik picu revolver.
“BANG!”
Dan kepalanya hancur berkecai.