Sabtu, 11 Februari 2012

Menentang Basikal Fixi Dan Kamera DSLR Episod 3

Sambungan dari episod 2

...

Planet Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan.

Badrul Hakim memecut laju Kuda Putih Bercalana Tiga dengan saya dan Hashimi Manan berada di tempat pembonceng. Kenderaan yang persis motosikal itu menderum padu membelah kegelapan malam di Planet Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan.

“Kau nak bawa kami pergi mana ni?” Tanya Hashimi Manan yang berada di tengah-tengah antara saya dan Badrul Hakim.

“Adalah tu. Aku nak bawa korang jumpa sorang pak cik yang power dalam ilmu melawan makhluk-makhluk asing ni.” Jawab Badrul Hakim antara dengar tak dengar.

“Apa nama pak cik tu?” Tanya Hashimi Manan tidak puas hati.

“Pak cik Ahmad Syamsul.” Jawab Badrul Hakim ringkas.

Saya dan Hashimi Manan terkesima.

“Maksud kau, Pak cik Ahmad Syamsul Si Pari-pari Kacak? ” Tanya saya untuk mendapat kepastian.

“Ye lah, siapa lagi!” Jawab Badrul Hakim padu.

“Bukan orang tua tu dah mati ke?” Hashimi Manan masih tidak puas hati.

“Itu cuma propaganda zionis. Dia masih hidup lagi. Cuma sekarang dia low profile.” Terang Badrul Hakim.

Saya dan Hashimi Manan diam masih tidak percaya.

Beberapa minit kemudian, kami sampai di sebuah banglo usang. Seorang gadis menyambut kami dengan senyuman manis.

“Abang-abang kacak sekalian sila ikut saya, Pak cik Syamsul Si Pari-pari Kacak sedang menunggu di dalam” kata gadis itu. Saya sedikit kaget apabila dia mengenyit matanya kepada saya.

Kami mengikut gadis itu masuk ke dalam banglo. Suasana sedikit seram dengan gambar-gambar lama yang tergantung di dinding.

Di ruang tamu, seorang orang tua dengan janggut putih mencecah lantai sedang duduk bersila. Kami dipersilakan duduk oleh si gadis. Sebelum berlalu pergi, sempat juga dia mengenyit kepada saya sekali lagi.

“Aku tahu hajat kamu kemari” kata Pak Cik Syamsul tiba-tiba, menyentak kami yang sedang memandang lenggok gadis yang berlalu pergi itu.

“Sebenarnya aku malas nak terang panjang-panjang. Nah, ambik skrol ni. Di dalamnya tertulis semua yang kamu perlu tahu tentang makhluk asing dari Planet Basikal Fixi dan Kamera DSLR ini” kata Pak Cik Syamsul sambil menghulurkan sebuah skrol usang. 

Saya menyambut dengan penuh cermat.

“Kamu harus lekas pulang ke bumi. Kawan-kawan kamu sudah tak boleh bertahan lama” arah Pak cik Syamsul sambil membelai janggut putih beliau.

“Lagi satu, kamu harus bawa Nanana bersama. Aku tengok dia asyik memerap main fesbuk aje dalam rumah . Mentang-mentanglah tengah cuti” tambah Pak cik Syamsul lagi dengan nada yang sedikit jengkel.

Kami terpana.

“Siapa Nanana?” Tanya Hashimi Manan keliru.

“Sayalah Nanana! You guys can call me Nana. ” sampuk gadis yang menyambut kami tadi sambil tersenyum lebar dan membuat gaya kiut seperti awek Korea. Disisinya ada dua beg besar.

Saya sedikit terkejut. Membawa seorang gadis sunti untuk menentang mahkluk asing bukanlah satu idea yang bernas.

“BAIKLAH PAKCIK!” angguk Hashimi Manan dan Badrul Hakim serentak.

Makhluk dua ekor ni memang tak boleh tengok awek lawa sikit, getus hati kecil saya.

Usai bersalam dan mengucap selamat tinggal, kami berempat berlalu pergi. Pak cik Syamsul memberi kami pinjam Kucing Keretapi beliau, sebuah keretapi yang kelihatan seperti kucing parsi dengan empat tempat duduk. Katanya, dengan Kucing Keretapi, perjalanan ke bumi cuma mengambil masa selama tiga hari. Lagi satu, tambahnya, tidak manis kalau seorang gadis naik Kuda Bercelana Tiga lebih-lebih lagi dengan tiga jejaka gantang seperti kami.

“SELAMAT TINGGAL PAK CIK, JUMPA LAGI!” jerit kami dari dalam Kucing Keretapi sambil melambai tangan.

###

Bumbung Hospital Besar, Kuala Terengganu, Malaysia, Planet Bumi

            Pesa Kamal sedang memandang langit sambil menghembus asap rokok. Langit yang biru itu kelihatan tenang dengan burung-burung walit yang berarak riang.

            Tiba-tiba, satu objek dari langit terbang  meluru ke arah Pesa Kamal. Objek itu laju, laju, semakin laju, dan akhirnya mendarat kemas di atas bumbung hospital.

            Ripang Musa tanggal helmet di kepala. Sebatang rokok dikeluarkan, lalu dicucuh.

            “Babi apa jadi superhero pun nak pakai helmet?” Tanya Pesa Kamal menganjing.

            “Kau tak tahu Sa, kadang-kadang tengah terbang ni macam-macam boleh berlaku. Helmet ni boleh mengurangkan risiko kematian akibat kepala terhantuk kapal terbang atau terlanggar burung” Terang Ripang Musa serius.

            “Babi, kah kah kah!” Pesa Kamal ketawa besar.

            “Macam mana? Ada nampak apa-apa yang mencurigakan?” Ripang Musa cuba mengubah topik perbualan.

“Tak ada apa-apa lagi setakat ni. Kau macam mana?” Pesa Kamal kembali serius.

“Aku pun tak nampak apa-apa sepanjang rondaan tadi. Pelik juga kenapa makhluk-makhluk asing ni tak menyerang lagi Kuala Terengganu ni.” Jawab Ripang Musa sambil mengerut dahi.

“Hmm, eloklah kita jaga-jaga, mana tahu diorang datang menyerang pada waktu yang tak dijangka, contohnya masa kita tengah berak atau…”

            BOOOOOOOM!

            Pancaran flash dari tentera-tentera kamera DSLR menerobos bumbung hospital. Nasib baik Pesa Kamal dan Ripang Musa sempat mengelak.

“Cilake!” teriak Pesa Kamal bengang akibat serangan mengejut yang membuatkan kata-katanya tadi tergantung.

Pesa Kamal pandang Ripang Musa. Ripang Musa pandang Pesa Kamal.

Sepasang sayap tumbuh di belakang badan Pesa Kamal. Tangan kanan dan kiri yang sedikit berparut mula bertukar bentuk menjadi laras mesingan  berpeluru seratus ribu.

“Masa untuk beraksi, Pang!” Jerit Pesa Kamal yang sudah ke langit dengan sayap yang mengepak laju seperti burung pemangsa sambil tangan kanan dan kirinya yang berfungsi seperti mesingan menembak peluru-peluru setajam berlian ke arah kamera-kamera DSLR.

Ripang Musa membuang puntung rokok di mulut. Helmet tanpa visor di sarungkan ke kepala sambil perlahan-lahan badannya terangkat ke udara. Anak matanya yang koko mula menjadi ungu, memancar sinar ultraviolet yang cukup membinasakan.

Langit yang tenang kini semakin hitam. Pertarungan angkasa antara dua superhero menentang kamera-kamera DSLR bermula!


bersambung…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan