Sabtu, 6 Ogos 2011

Mengetuk Pintu Syurga

   Bukan selalu Roy bangun awal. Biasanya, waktu ini dia masih bermimpi. Bermimpi yang macam-macam. Bermimpi yang bukan -bukan. Roy kesat taik mata yang melekat di kelopak. Jam di dinding pukul 5.25 pagi.

"Sempat lagi nak bersahur ni". Bisik hati kecil Roy.

   Dengan langkah huyung-hayang, Roy menapak perlahan ke dapur. Suis lampu yang agak klasik pada dinding di tekan, lantas terpancarlah cahaya putih menerangi segenap pelusuk dapur bujang itu.

    Tudung saji diangkat. Hampa.

    Sisa-sisa makanan berbuka yang tadinya masih berbaki kini sudah jadi rezeki semut. Kerana waktu sahur yang semakin tidak mengizinkan, Roy ambil jalan mudah. Neskafe dibancuh pekat-pekat.

"Okay lah ni, alang-alang dah bangun" Fikir Roy.

   Orang lelaki bersahur. Ringkas.

   Roy duduk diatas kerusi malas di depan rumahnya. Segelas Neskafe pekat di sebelah, dan di sebelah Neskafe pekat itu ada kotak rokok Marlboro yang di dalamnya cuma tinggal dua batang. Sambil menghirup hidangan sahurnya itu, Roy menyalakan sebatang rokok. Asap beracun ditarik perlahan-lahan ke dalam peparu, sambil mata di pejam-celik-pejam-celik memandang bintang yang masih ada di langit.

   Sayup-sayup bunyi bacaan ayat-ayat Al-Quran dari speaker surau berdekatan memecah hening pagi itu. Rokok terakhir dinyala. Masih sempat lagi. Neskafe yang tinggal separuh dihirup cepat-cepat. Asap rokok juga dihembus cepat-cepat.

"Allahuakbar, Allahuakbar!" Suara bilal yang serak-serak basah kini berkumandang. Sudah masuk waktu subuh. Sudah habis waktu sahur.

   Entah mengapa, hari itu, ada sesuatu yang luar biasa menerjah hati Roy. Kalau hari-hari lain, bunyi azan itu tidak lebih dari sekadar bunyi-bunyi kosong. Bunyi yang tidak ada makna. Bunyi yang Roy tidak ambil peduli. Tapi kali ini, entah mengapa hatinya terdetik untuk menuju ke arah bunyi itu.

   Biasalah orang muda, suka mencuba.

   Sampai di surau, mata-mata semuaya memandang ke arah susuk tubuh Roy. Dengan rambut yang panjangnya mencecah bahu, baju T tertulis nama Bob Dylan berserta kain pelikat usang, dia pastinya tidak pandai bergaya seperti ahli surau.

    Roy tidak ambil peduli terhadap pandangan masyarakat yang dirasakannya skeptis itu. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

   Subuh hari itu, untuk kali  pertama dalam tempoh yang dia sendiri pun lupa, Roy menunaikan solat subuh secara berjemaah dengan rela hati. Kalau tidak percaya, ahli-ahli surau dan tikar -tikar sejadah boleh menjadi saksi.

   Selesai solat, wirid, dan doa , Roy bergegas mahu pulang. Mengantuknya tidak tertahan lagi. Namun melihatkan kepada ahli-ahli surau lain yang sedang bersalaman, Roy tidak mahu jadi kurang ajar. Satu-satu tangan orang yang dia tidak pernah jumpa sebelum ini dicapai, lalu digenggam erat.  Roy bernasib baik kerana dia hidup di bumi Malaysia. Kalau di Mekah, pastinya dia perlu berpeluk cium siap!

   Sampai giliran tok imam.

   Tangan orang tua itu digenggam dan mahu dilepaskan cepat-cepat. Tapi, genggaman tok imam bukan calang-calang. Tangan mereka masih melekat. Ada sesuatu yang mahu disampaikan oleh ketua surau itu.

"Knocking on heaven's door?' Bisik tok imam dengan nada bertanya. Tajuk lagu Bob Dylan yang bahasanya Inggeris itu diungkap lancar.

   Roy tersenyum.

"Power jugak tok imam ni!" Kata Roy dalam hati.

Subuh

Subuh ini,
ada yang tidur,
ada yang bertafakur,
ada yang bersahur.

Subuh ini,
ada yang berjalan kaki,
ada yang berbasikal warna-warni,
ada yang bersama kekasih hati.

Subuh ini,
ada yang masih takut Ilahi,
ada yang sudah tidak peduli.

Rabu, 3 Ogos 2011

Tak Tahu Tajuk! (TTT!)

Bulan puasa ada orang macam mati.
Bulan puasa ada orang macam hidup selamanya!