Khamis, 2 Februari 2012

Menentang Basikal Fixi Dan Kamera DSLR Episod 1

         Untuk hari jadi saya yang ke-21, Celcom telah menghadiahkan saya panggilan percuma ke nombor 8pax selama seminggu. Sebenarnya, saya telah berkeras mengatakan bahawa panggilan percuma ini tidak berguna mana jika anda tidak ada siapa-siapa yang istimewa untuk bergayut lama-lama. Panjang lebar juga saya taip mesej untuk menerangkan hal ini kepada Celcom, namun balasan yang saya terima hanyalah sekeping mesej bertulis “fuck you . :P”. Bagi saya, lebih bermakna jika celcom menghadiahkan bekalan rokok untuk seminggu, atau paling kurang pun wang tunai 2-3 ratus.

Walaubagaimanapun, oleh sebab takut terasa rugi jika panggilan percuma ini tidak digunakan, saya guna juga akhirnya. Saya telepon kawan saya yang berada di planet Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan , Badrul Hakim namanya. Dia bermaustin tetap disana setelah dihalau keluar dari Planet Bumi oleh tuan presiden Najibson Rodriguez Goo Hara  gara-gara cetusan revolusi yang dia kepalai beberapa tahun lepas.

Ketika berbual di telepon dengan Badrul Hakim, dia ada mempelawa saya untuk datang ke Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan. Katanya, disana ramai awek-awek cantik. Tambahan pula, kehidupan di sana agak sosial, jadi boleh lah dia ajar saya cara-cara untuk berpoya-poya dan menjalani kehidupan secara barat dan urban melampau.

Saya setuju.

Untuk ke Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan dengan kadar yang paling murah, saya harus menaiki kuda yang bertanduk dan bersayap, atau lebih dikenali sebagai Unikorelia. Binatang ini tidak cerewet. Cukup sekadar diberi minum 300 botol coka-cola, Unikorelia boleh terbang dengan stabil walaupun dalam keadaan cuaca yang ekstrim.  

Jadi saya ke rumah Hashimi Manan dengan hajat mahu meminjam Unikorelia beliau yang bernama Cikgu Boring. Bimbang Cikgu Boringnya diapa-apakan, Hashimi Manan membuat keputusan untuk ikut sekali. Saya berbesar hati dengan kehadiran Hashimi Manan. Sekurang-kurangnya ada juga teman sepanjang perjalanan nanti.

Perjalanan ke Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan biasanya mengambil masa selama seminggu jika menaiki Basikal Fixi Oren Berkuasa Solar. Jika menggunakan khidmat Unikorelia ini,tempohnya agak lama, lebih dua minggu. Tambahan pula, Cikgu Boring (Unikorelia milik Hashimi Manan) sudah mencapai umur baligh dan kelajuannya boleh dikira sebagai berada pada tahap lembab. Lebih-lebih lagi, Cikgu Boring terpaksa menampung berat dua manusia kacak. 

Sepanjang perjalanan, kami banyak berbual tentang politik, cinta, hati, dan perasaan. 

Sesampainya kami di Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan, Badrul Hakim telah setia menunggu saya dan Hashimi Manan di Stesen Bas Paling Berkesan Wilayah Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan. “Celaka panjang betul namanya”, getus hati saya ketika terbaca nama tempat itu yang tertulis pada papan tanda.

Badrul Hakim kelihatannya agak segak setelah lama tidak ketemu. Rambutnya yang dulu kerinting kini sudah lurus. Katanya di Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan ini, rambut kerinting diklasifikasikan sebagai gay. Jadi untuk mengelak streotaip masyarakat, eloklah di rebondingkan saja.

Perjalanan yang lama membuatkan saya lapar macam celaka. Kami tinggalkan Cikgu Boring di pusat servis Unikorelia berdekatan, lalu kami menaiki Kuda Putih Bercelana Tiga (kuda yang kelihatan seperti motosikal) milik Badrul Hakim untuk ke sebuah restoren yang dikatakan paling power di Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan, Kedai Makan Power.

Sampai di restoren, kami memesan Nasi Goreng Power sebagai hidangan utama dan Keropok Lekor Power sebagai pencuci mulut. Untuk membasah tengkuk, kami memilih Teh O Girlfriend. Kata Badrul Hakim, Teh O Girlfriend diperbuat daripada Teh Cap Askar yang dibancuh dengan air mata gadis-gadis yang baru putus cinta. Menurut lagenda tempatan, jika kena molek, seseorang akan ketemu cinta sejati selepas meminum teh tersebut. Sebab itulah Teh O’ Girlfriend tidak boleh diminum oleh budak-budak sekolah, takut nanti pelajaran mereka entah kemana.

Usai makan, Badrul Hakim ke kaunter untuk membayar hidangan. Saya dan Hashimi Manan cucuh rokok yang terpacak di bibir mulut masing-masing sambil memerhati orang yang lalu lalang.

Di sepanjang kaki lima, bermacam-macam ragam manusia diperlihatkan oleh tuhan kepada kami. Ada yang berjalan sambil bercakap telepon, ada yang berjalan sambil mendengar lagu, ada yang berjalan sambil mengorek hidung, tidak ketinggalan yang berjalan sambil tangan memegang tangan kekasih.

Di hujung jalan, satu skrin besar yang dipasang pada sebuah bangunan tinggi sedang memaparkan berita terkini. Si pembaca berita, seorang gadis berkulit cerah, kacukan Melayu Korea barangkali, kelihatannya cukup serius.

“Salam 1Bintang Paling Terang Dan Paling Mengecewakan. Sari berita utama. Planet Bumi kini telah ditawan oleh makhluk asing dari Planet Basikal Fixi Dan Kamera DSLR dalam serangan mengejut malam tadi. Menurut sumber yang sohih, basikal-basikal fixi dan kamera-kamera DSLR di Planet Bumi sebenarnya adalah makhluk asing yang menyamar. Dikatakan bahawa tepat jam 2100 semalam, basikal-basikal fixi dan kamera-kamera DSLR “mulai hidup”, lalu melakukan kerosakan di Planet Bumi. Penaklukan bermula di Malaysia gara-gara budaya basikal fixi dan kamera DSLR yang melampau di sana.”

Hashimi Manan tersentak. Asap rokok yang disedut tersekat di kerongkongnya. Matanya membulat luas.

            “Celaka! Aku dah kata dah, aku dah kata dah…!” kata Hashimi Manan.

Saya masih bertenang. Perlahan-lahan rokok di jari yang sudah tinggal puntung dimatikan di alam bekas abu rokok.

 “Kita kena buat sesuatu. Planet Bumi tu ibu pertiwi kita!” kata Badrul Hakim yang dari tadi berdiri di belakang kami tanpa kami sedari.

Saya pandang Hashimi Manan. Hashimi Manan pandang Badrul Hakim. Badrul Hakim pandang saya.

Serentak kami angguk.

Kini, nasib Planet Bumi di terletak tangan kami.



           (bersambung…)

Ahad, 29 Januari 2012

Mimpi Yang Paling Sweet Setakat Ini.

Semalam saya mimpi kami naik kereta empat orang.
Saya, Shimi, Gadis 1, dan Gadis 2.
Macam double date.
Kami gurau-gurau.
Kami carut-carut.
Lepas tu kami senyum.
Kami ketawa.

Saya tak tahu perjalanan itu membawa kami ke mana,
untuk apa.
Saya tak tahu.
Mungkin yang macam saya selalu mahu;
road trip yang tiada tujuan dan destinasi tetap.

Sweet.