“Get a room lah, fuckers!” bisik
hati kecil Pina.
Pina adalah seorang gadis yang
berantakan. Dia selalu bingung dengan dunia dan hal-hal yang berlegar di
dalamnya, terutamanya yang ada kaitan dengan cinta dan kasih sayang. Dia mual
dengan benda-benda romantis dan bait-bait indah dalam puisi; mual sampai
terkadang mahu saja dia ambil pisau dan tikam manusia-manusia bercinta ini
sampai lunyai, lebih-lebih lagi pasangan kekasih yang saling tertidur di
hadapannya saat ini.
Gila!
Pina suka kek coklat. Suka Pina
kepada kek coklat adalah lebih hebat
dari sukanya dia kepada benda-benda lain, seperti anjing kecil yang memakai
kolar hitam dan pokok kaktus renek. Bagi Pina, cinta yang hakiki hanyalah cinta
kepada kek coklat, dan cinta selain kepada kek coklat adalah cinta yang jijik
dan songsang.
Jijik!
Lrt berhenti lagi. Tapi bukan di
stesen yang Pina tuju. Jauh lagi.
Pina keluarkan sebatang pen dan
sebuah diari kecil berwarna hitam. Terus dia mula mencatat.
Ali babi Ali babi Ali babi…
Ayat itu dia ulang sampai habis
tiga muka surat. Puas. Pina hela nafas panjang.
Sekeping gambar lama yang tersisip
di celahan diari dikeluarkan. Seorang gadis bermata polos ketawa riang sambil
menarik rambut seorang lelaki kurus memakai t-shirt dengan gambar Deborah Harry.
Air mata Pina menitis perlahan,
berhati-hati meluncuri wajahnya yang mulus. Pina tak suka begitu, jadi air mata
itu dia seka cepat-cepat.
Diari hitam dibuka semula, dan dia
sambung tulis “Ali babi Ali babi Ali
babi” sampai letih, lalu tertidur.