Rabu, 27 Julai 2011

Cinta Yang Buta

   Gadis manis itu duduk di atas bangku yang diperbuat daripada batu, di tepi pantai yang penuh dengan orang-orang lalu lalang. Gitar akustik Yamaha yang tadinya kemas tersimpan di sisi kini dikeluarkan.Perlahan-lahan, dia memetik tali gitar itu satu-satu. Petikannya terhenti di tali G. Lantas, tuner dipulas sedikit demi sedikit. Tali G itu menegang sehingga si gadis berhenti.Gitar dipetik semula. Kali ini, gadis itu senyum seorang. Tune yang tadinya lari kini dirasa sempurna.

   Pada fret gitar yang sudah luntur titik-titik not nya, jari-jari halus milik si gadis diletakkan satu per satu. Tekanannya sedang-sedang saja. Tidak kuat, tidak pula lemah. Kemas. Sedang jari-jari tangan kanan memetik lembut tali gitar itu, mengalun irama merdu, membentuk lagu syahdu.

   Orang-orang yang tadinya sekadar lalu lalang kini berhenti, mungkin terpukau oleh si gadis, mungkin juga kasihan. Semakin lama, semakin banyak pula orang. Gadis itu tidak kaget. Dia tidak peduli. Baginya, dunia ini tidak lain selain gelap. Siang dan malam tiada bezanya. Kalaupun ada seribu orang di depannya, dia tidak nampak. Dia buta.

   Dari jauh, ada sepasang mata tepat memandang. Mata ini milik seorang teruna. Teruna ini sedang bersedih ditinggal kekasih hati yang baru saja pergi. Bunga mawar merah masih ada di tangannya. Perlahan-lahan dia menghampiri si gadis yang kini sedang ayik mengalun lagu Hyperballad milik Bjork. "Pemuzik jalanan", getus hatinya.

   Gadis itu sudah selesai, siap hendak berlalu pergi. Si teruna yang kini sudah berada di depan si gadis, terpanah. Gadis itu ayu. Sayang, dia buta. Bunga mawar di tangannya seakan menjerit ingin bertukar tuan. Tanpa berfikir panjang, si teruna terus menghulur.

"Bunga mawar ini, untuk kamu" Kata si teruna.

Si gadis yang terkejut, kemudian bertanya. "Kenapa?"

"Bunga ini tadinya untuk kekasih saya. Kini dia sudah pergi, meninggalkan saya. Mungkin takdir bunga ini untuk kamu" Jelas si teruna.

   Si gadis malu-malu. Tidak pernah sepanjang hayatnya dia melihat bunga, apatah lagi menerimanya. Pipinya yang gebu itu merah padam.

"Saya Roy. Boleh saya tahu nama saudari?" Si teruna memperkenalkan diri, serentak memulakan misi.

"Saya Cinta, Cinta yang buta" Jawab si gadis, masih malu-malu.

   Bersama gitar Yamaha akustik dan bunga mawar di tangan Cinta, mereka kini berlalu pergi. Semakin jauh, semakin jauh.

   Hari itu, ada kisah cinta baru berputik.

Karlos (bukan nama sebenar) Yang Kuat

   Karlos (bukan nama sebenar) adalah seorang yang kuat. Dalam kalangan kawan-kawannya yang sebaya, yang biasa lepak sekali minum air, dialah yang paling gagah. Kalau dilihat kepada perwatakannya yang macam ahli kongsi gelap itu, siapa tak gerun? Tambah lagi, rambutnya yang tajam macam duri landak hutan itu memang betul-betul boleh buat orang luka. Luka yang betul-betul. Luka yang berdarah. Kalau bercakap pasal anatomi pula, senang cerita, betis dia besar gajah, lengan dia besar badak. Karlos pantang kalau ada orang yang tak sebulu dengannya. Sangat-sangat pantang. Pendek kata, siapa-siapa yang dia tak puas hati, memang makan penumbuk tujuh puluh empat la jawabnya.

   Pernah sekali, waktu di Masjid Negara, ketika itu subuh. Tatkala Karlos ingin berwuduk (dia antara beberapa kerat ahli-ahli kongsi gelap yang masih teguh imannya), tiba-tiba si batang paip tembaga itu buat hal. Apa lagi, sekali dia siku, berderai kepala paip pecah. Habis memancut-mancut air keluar. Kecoh satu masjid! Berlari-lari pak gad datang. Nak marah, bukan sembarangan orang yang buat. Nanti tak pasal-pasal kepala pak gad yang berderai! Itu la yang orang-orang tua kata, kalau dasar gengster, pergi mana pun orang kecut!

   Seperti keras besi yang bisa lembut dengan api, seperti air batu yang cair dengan air, Karlos juga tidak terlepas dari hukum alam. Bila topik cinta dibuka, Karlos pasti terkesima. Sayu-sayu dia akan terkenang kekasih hati yang jauh. Betul la kata orang, setiap lelaki hebat di belakangnya ada wanita hebat. Kalau Hitler dengan Eva, kalau Rocky dengan Adrian, dan kalau Thurston dengan Kim, Karlos juga ada heroinnya. Walaupun begitu, si cinta hati Karlos ini amatlah rahsia. Kawan-kawanya tidak pernah kenal gerangan empunya badan. Kata Karlos, tidak ganas lah jika ianya diketahui. Mana dia nak letak muka kalau bos-bos kongsi gelap panggil dia "muka pembunuh, hati berbunga!"

   Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Karlos tidak terkecuali. Dia juga ada saat kejatuhan. Hendak dijadikan cerita, jika para pembaca yang kacak pernah ke tingkat dua pasaraya Giant Kuala Terengganu, di bahagian arked permainan video, pasti ada ternampak mesin penumbuk bukan? Mesin ini kononnya untuk menguj kekuatan tumbukan sang penumbuk. Mesin ini bukanlah dicipta untuk orang-orang kurus keding seperti Sake, Shimi, dan Malik. Mesin ini sepertinya tercipta untuk orang-orang seperti Rocky Balboa, Muhammad Ali, dan juga Karlos.

   Suata hari, Karlos beria-ria benar hendak menandingi catatan markah tertinggi di mesin itu. Bersama Sake dan Shimi, mereka pergi ke sana dengan seribu harapan. Bukan Karlos saja, Sake dan Shimi pun ingin mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki. Sampai di sana, Karlos segera menukar not seringgit menjadi sekeping syiling gangsa/tembaga/plastik, atau biasa orang panggil token saja. Berbekalkan azam dan kesungguhan, Karlos berjalan ke arah mesin bak seorang pahlawan yang menuju ke medan perang. Token dimasukkan. Budak-budak sekolah yang datang dari mana-entah segera mengerumuni, tidak ingin melepas peluang melihat sang gergasi beraksi.

"Kedebuk!" Satu tumbukan berat dilepas. Dilihat pada skrin mesin, skornya 64 kg!
"Whoaa!" Budak-budak sekolah kagum. Tak sia-sia mereka menonton.

   Cubaan kedua. "Kali ini perlu lebih padu!" Azam Karlos.

"Kedebukkkk!" Tiada keraguan. Tumbukan yang kedua ini memang kuasa badang! Skor di skrin kelihatan bertambah, dari 64 kg menjadi 68 kg!

   Karlos berundur. Walaupun sasarannya untuk mengatasi rekod sedia iaitu 71 kg tidak tercapai, dia puas. Sudah hampir-hampir katanya. Lain kali pasti tiada masalah. Sake dan Shimi cuba juga, namun skor mereka cukup-cukup makan saja.

   Ketika ingin beransur pulang, budak-budak sekolah yang tadinya menonton kini ingin menjadi pemain. Si penumbuk, yang agakya berada dalam lingkungan tingkatan dua atau tiga, badannya tidaklah besar tidaklah kecil, kelihatan siap menggenggam.

   Hajat ingin pulang dibiarkan seketika.

"Kedebukk!" Satu tumbukan dilepas.

   Sake dan Shimi tergamam. Karlos yang tadinya nampak berlagak kini senyap. Budak-budak sekolah bersorak sesama mereka, gembira dengan pencapaian kawannya itu.

   Pada skrin mesin, terpampang skor yang diperoleh. 69 kg!

P/s: Cerita ini aku tokok tambah supaya nampak lebih sedap. Siapa-siapa tak perlu malu. Karlos ini pun bukan lah nama sebenar! Tidak begitu, Karlos?

Selasa, 26 Julai 2011

Kaset-kaset Yang Dibawa Angin

   Dulu masa sekolah menengah, muzik tu macam benda wajib bagi aku. Masa tu rokok tak hisap lagi. Gitar tak pernah sentuh langsung. Pakai baju pun macam budak skema. Masa ni aku belum berkenalan lagi dengan encik internet. Kalau nak ikut duit yang mak ayah aku bagi, memang aku simpan buat beli kaset. Bila nak mintak duit dengan mak, dia cakap "makan la kaset tu!"

   Aku pun tak tahu macam mana aku boleh tergerak hati nak beli kaset-kaset ni. Masa tu aku tingkatan satu. Aku tengah tunggu bas dekat stesen bas. Ye la, takkan nak tunggu bas dekat Kedai Runcit Haji Karim pulak kan? Sebab bas lambat (sebenarnya aku takut kena pau dengan budak-budak punk yang tengah melepak dekat situ), aku pergi la jalan-jalan dekat kedai jual kaset dekat tepi stesen bas. Tiba-tiba aku nampak satu kaset, muka depan dia gambar tiga orang warna hitam. Latar belakang dia ada pelangi sikit-sikit. Itu la kaset pertama aku beli. Green Day-International Superhits.

   Mula dari tu, banyak la kaset-kaset aku beli. Masa ni harta yang aku ada cuma walkman dengan kaset. Ni la benda yang selalu aku bawak kalau pergi mana-mana. Menatang-menatang yang orang panggil mp3, mp4, ipod, iphone orang tak pakai mana lagi masa ni. Paling ganas pun, discman.Walaupun walkman ni nampak macam ketinggalan zaman, aku peduli apa. Yang penting, aku dapat dengar suara Rivers Cuomo melalak hari-hari.

   Sekarang, kaset-kaset tu dah tak ada. Bila rumah aku terbakar, kaset-kaset tu terbakar sekali. Jadi abu, terbang bersama angin bayu pantai.

Green Day- International Superhits.
Green Day- Shenanigans.
Gorillaz- 99-2000
Green Day- Dookie.
Green Day- Nimrod
Incubus- A Crow Left Of The Murder.
Papa Roach- Getting Away With Murder.
Weezer- Green Album.
Green Day- Warning
Weezer- Maladroit.
Weezer- Blue Album.
Gorillaz- Feel Good Inc.
Red Hot Chillie Peppers- Greatest Hits.
The Offsprings- Greatest Hits.
Oasis- Don't Believe The Truth.
Korn- Greatest Hits
Green Day- American Idiot.
INXS- Greatest Hits.
The Used- In Love And Death.
Foo Fighters- One By One.
Foo Fighters- Best Of Me.
Weezer- Make Believe.
Butterfingers- The Best Is Yet To Come.
The Strokes- First Impressin Of The Earth.
Keane- Hope And Fear.
Keane- Under The Iron Sea.
(Aku tak ingat dah. Banyak sangat!)

Terima kasih Allah kerana bagi aku kaset-kaset ini.
Terima kasih Allah kerana bagi aku muzik.

P/s: Cis, rasa emosi la pulak bila buat entri ni!

Isnin, 25 Julai 2011

Seberang Takir Malam Ini

Malam ini Seberang Takir hujan lebat.
Malam ini Seberang Takir ribut kuat.
Malam ini Seberang Takir gelap gugup.
Malam ini Seberang Takir senyap katup.
Malam ini Seberang Takir pasti kelam.
Malam ini Seberang Takir pasti macam malam-malam semalam.

Ahad, 24 Julai 2011

Tergelincir

   Dulu, pernah sekali aku tergelincir. Tergelincir tu maksud aku bukan macam tergelincir dari landasan agama atau terpesong akidah, cuma tergelincir yang biasa-biasa.

   Sekarang, kalau ada nampak tanda "AWAS, LANTAI LICIN!" masa berjalan, aku akan berhenti dulu. Hisap rokok sebatang, tengok orang lalu lalang, tunggu lantai kering. Hidup penuh dengan kejutan.

   Cepat-cepat nak ke mana, kan?