Beberapa hari lepas, aku terlibat dalam satu kemalangan
jalanraya. Waktu itu aku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai
menduduki kertas Discourse and Profession.
Di simpang keluar universiti, lampu isyarat tunjuk warna
merah. Aku berhenti. Sambil tunggu lampu tukar warna jadi hijau, aku pandang
keliling. Kosong. Entah kemana manusia waktu itu, aku tidak pasti. Yang aku
tahu semuanya kosong, sepertinya ada pesta keramaian di alam lain, dimana semua
orang sedang sibuk menari dengan teman masing-masing, meninggalkan aku sendirian
di simpang keluar universiti.
Jadi lampu merah itu aku putuskan untuk langgar saja.
Tiba-tiba, datang sebuah lori minyak dari sebelah kiri aku.
Laju. Aku yang menunggang skuter dirempuh seperti anak kecil yang ditampar oleh
tangan raksaksa ; kuat dan padu. Aku terpelosok ke bawah lori minyak yang sudah
hilang kawalan, diseret ke pinggir jalan yang seperti aku bagitahu tadi, kosong
tanpa orang. Lori minyak itu meletup, dan aku tidak pasti kenapa. Yang aku
tahu, ia meletup, dan api mulai menyambar tubuh aku.
Perlahan-lahan, aku terbakar, terbakar, dan terbakar. Aku
makin menghangus, seperti ayam yang berbeku yang dibiarkan terlalu lama di atas
pemanggang; terlalu lama hingga aku rentung dan jadi abu.
Dengan izin tuhan, angin monsun datang dan bawa abu mayat
aku terbang. Untuk seketika, aku dapat rasa bagaimana kiranya aku seekor
burung;
terbang bebas meniti
udara,
melihat dunia tanpa dongak
kepala,
meneropong ke setiap
pelusuk yang aku lalui,
ketawa sinis pada bumi
yang sepi,
(walaupun dalam bentuk abu mayat)
***
Angin monsun itu, ia bawa aku ke pantai.
Di pantai, aku ditebarkan ke laut yang luas. Aku mula bersejati
dengan air; menjadi sebahagian dari titis-titis biru, dan membentuk gelombang
yang beralun-alun. Di atas aku, sebuah sampan nelayan berkolek tenang. Aku
lihat seorang lelaki tua menebar jala. Dia sepertinya hampa bila yang sangkut
hanyalah rumpai laut. Aku berdoa kepada tuhan supaya lelaki tua itu jatuh ke
dalam laut dan terjumpa peti harta karun peninggalan lanun. Aku juga berdoa
semoga dia bisa berenang ke daratan.
Sedang aku berdoa, tiba-tiba ribut datang. Dengan
serta-merta, laut jadi gila. Aku yang tadinya hanyalah alunan gelombang tenang
kini sudah jadi ombak besar yang garang. Ribut menghembus angin taufan, dan aku
kini siap sedia untuk menghempas daratan.
Di gigi air, ada seorang gadis sedang membina istana pasir. Gadis
itu, aku tidak tahu apa namanya. Andaikan saja dia Fara, seorang pelajar
jurusan Bahasa Inggeris yang sedang menuntut di UiTM.
Jadi Fara; dia begitu asyik dengan istana pasirnya. Tanpa
dia sedari, aku sedang menghampirinya dari tengah laut dalam bentuk gulungan
ombak yang ganas. Aku cuba jerit “Fara! Fara!” agar dia dengar. Tapi dia
terlalu memberikan perhatian pada dekorasi tembok istana. Aku pula semakin
deras dan meninggi, sedia untuk menghempasnya bila-bila masa dari saat itu.
“Gebushhhhhhhhh!”
Istana pasir Fara hancur dalam sekelip mata. Fara pula
terkapai-kapai cuba menarik diri ke daratan. Tapi aku terlalu kuat. Dan seperti
Fara, aku juga turut hilang kawalan terhadap diri sendiri. Selang beberapa
saat, Fara semakin tenggelam. Udara untuknya mulai putus. Fara melemah dan melemah.
Dia akhirnya lemas, dan aku hanya mampu memeluknya sambil membiarkan saja dia mati
dalam dakapanku.
***
Kini sudah tiga hari Fara mati. Dia sedang terapung dihanyut
arus yang gelincir. Aku harap mayatnya tidak ditemui, kerana aku sedang tunggu
dia mereput. Nanti bila dia larut, kami akan bersatu. Dan kami –aku dan Fara –
akan jadi ombak yang paling kuat. Mungkin dalam setahun dua, kami akan cuba
untuk melemaskan kanak-kanak yang berlari riang di pesisir pantai. Kanak-kanak
itu nanti, andaikan saja namanya Cheng.