Jumaat, 28 Oktober 2011

If Age Is What Matters, Then I'm 21 Too!

Bunyi lagu The Evpatoria Report- Taijin Kyofusho  jadi latar tengah hari itu, bergema perlahan dari mp4 yang tak pernah tutup dari semalam. Mungkin kalau playlist Roy penuh dengan lagu-lagu Pavement, atau Sebadoh, atau Dinosaur Jr, atau Muck, entah berapa ratus lagu sudah termain tanpa pendengar. Tapi bila dia pilih tema post-rock untuk semalam, jadi mungkin hanya sempat beberapa puluh lagu saja.

Roy biar mp4 terus berbunyi. Dia tidak pernah serabut dengan muzik.

Rumah sewa lima bilik itu selalu gelap, selalu malam, walau diluar matahari sudah jenuh memancar dari pagi. Nikmat tingkap yang salur untuk udara masuk memang sekadar khayalan. Jadi, udara panas berlegar macam syaitan, menggangu tidur Roy yang tak pernah cukup.

Perlahan dia meraba kiri kanan, mencari kaca mata besar semata-mata untuk melihat jam di dinding. Barangkali, tidur yang lama itu membuat Roy lupa akan jam merah jambu di pergelangan tangan; jam yang menarik perhatian mata-mata klise untuk mena'kul Roy sebagai seorang yang berjiwa songsang. 

Seperti selalu, kaca mata besar Roy masih selamat walaupun posisinya betul-betul di atas lantai di tengah ruang tamu; jalan penghubung penghuni rumah sewa itu dengan dunia luar. Mungkin sebab bingkainya yang besar, jadi siapa-siapa boleh nampak, jadi siapa-siapa boleh elak dari memiijak.

Malas-malas, Roy cuba panjangkan tangan untuk menggapai si kaca mata. Gagal.

Dengan sedikit azam untuk memulakan hari baru, Roy panjangkan lagi. Berjaya.

Jam di dinding tunjuk pukul satu setengah. Seperti biasa, kelas Roy yang pagi tadi terlepas. Kalaupun jam merah jambu Roy ada kuasa untuk undur masa, dia tak akan undur ke pukul sembilan. Bagi Roy, kelas Human Communication bosan macam babi. Daripada duduk tiga jam dalam bilik kuliah mendengar pensyarah  bercerita tentang effective communication, self and perception, dan segala macam lagi benda mengarut, ada baiknya kalau dia mengkaji kenapa Ibrahim Ali ni berlagak sangat, atau kenapa burung layang-layang akan berlegar atas bumbung kedai roti canai Berahim hanya pada hari rabu, atau kenapa dia tergamak kerat rambutnya yang ala-ala John Cooper Clarke dulu.

Dalam hati, Roy berkira-kira. 

"Rokok.Mandi.Zohor.Qada Subuh.Makan.Rokok"

"Sempat lagi kalau nak ke kelas pukul dua ni" fikir Roy, walaupun mungkin terlewat beberapa belas minit.

Tuala yang sukar dikenal pasti warnanya itu Roy capai sebelah tangan, sambil jari tangan yang sebelah lagi mengepit sebatang rokok. Perlahan dia menuju ke bilik air; langkahan pertama untuk satu lagi hari yang sama, atau istimewa.

Mungkin kalau nasibnya baik, gadis dengan baju t New Order yang dia mimpi semalam akan muncul hari ini!



Rabu, 26 Oktober 2011

Sampah Nombor Dua

Hidup yang tunggang-langgang buat aku kembali pada satu benda asal yang aku suka.

Belajar campur muzik.
Rokok campur muzik.
Makan campur muzik.
Bola campur muzik.

Cita-cita, sekarang nampak makin jelas; kabur.

Yang penting, esok mesti ada lagu baru.
Esok mesti berbaki sebatang dua.
Nafas beracun untuk aku terus hidup.

Sampah

Bukan senang berjalan dengan kasut ni.
Cuba pakai, baru tahu.

Suka.Bising.Sedih. Diam.
 
Yang keruh kita layan dengan bong.
Jadi asap khayalan.

Semua yang buat aku.
Kenapa perlu buang?