Rabu, 27 Julai 2011

Cinta Yang Buta

   Gadis manis itu duduk di atas bangku yang diperbuat daripada batu, di tepi pantai yang penuh dengan orang-orang lalu lalang. Gitar akustik Yamaha yang tadinya kemas tersimpan di sisi kini dikeluarkan.Perlahan-lahan, dia memetik tali gitar itu satu-satu. Petikannya terhenti di tali G. Lantas, tuner dipulas sedikit demi sedikit. Tali G itu menegang sehingga si gadis berhenti.Gitar dipetik semula. Kali ini, gadis itu senyum seorang. Tune yang tadinya lari kini dirasa sempurna.

   Pada fret gitar yang sudah luntur titik-titik not nya, jari-jari halus milik si gadis diletakkan satu per satu. Tekanannya sedang-sedang saja. Tidak kuat, tidak pula lemah. Kemas. Sedang jari-jari tangan kanan memetik lembut tali gitar itu, mengalun irama merdu, membentuk lagu syahdu.

   Orang-orang yang tadinya sekadar lalu lalang kini berhenti, mungkin terpukau oleh si gadis, mungkin juga kasihan. Semakin lama, semakin banyak pula orang. Gadis itu tidak kaget. Dia tidak peduli. Baginya, dunia ini tidak lain selain gelap. Siang dan malam tiada bezanya. Kalaupun ada seribu orang di depannya, dia tidak nampak. Dia buta.

   Dari jauh, ada sepasang mata tepat memandang. Mata ini milik seorang teruna. Teruna ini sedang bersedih ditinggal kekasih hati yang baru saja pergi. Bunga mawar merah masih ada di tangannya. Perlahan-lahan dia menghampiri si gadis yang kini sedang ayik mengalun lagu Hyperballad milik Bjork. "Pemuzik jalanan", getus hatinya.

   Gadis itu sudah selesai, siap hendak berlalu pergi. Si teruna yang kini sudah berada di depan si gadis, terpanah. Gadis itu ayu. Sayang, dia buta. Bunga mawar di tangannya seakan menjerit ingin bertukar tuan. Tanpa berfikir panjang, si teruna terus menghulur.

"Bunga mawar ini, untuk kamu" Kata si teruna.

Si gadis yang terkejut, kemudian bertanya. "Kenapa?"

"Bunga ini tadinya untuk kekasih saya. Kini dia sudah pergi, meninggalkan saya. Mungkin takdir bunga ini untuk kamu" Jelas si teruna.

   Si gadis malu-malu. Tidak pernah sepanjang hayatnya dia melihat bunga, apatah lagi menerimanya. Pipinya yang gebu itu merah padam.

"Saya Roy. Boleh saya tahu nama saudari?" Si teruna memperkenalkan diri, serentak memulakan misi.

"Saya Cinta, Cinta yang buta" Jawab si gadis, masih malu-malu.

   Bersama gitar Yamaha akustik dan bunga mawar di tangan Cinta, mereka kini berlalu pergi. Semakin jauh, semakin jauh.

   Hari itu, ada kisah cinta baru berputik.

2 ulasan: