Rabu, 28 Disember 2011

vinátta blóð

Tengku Malik ikat tali kasut but yang dipinjam dari abangnya itu sedang-sedang; tak kemas tak longgar, sambil mulut kumat-kamit membaca jampi sepotong dua. Di sisinya ada senapang pusaka Mahmud yang dia ambil tanpa izin. Senapang itu berisi, menunggu masa untuk merobek organ apa-apa, atau siapa-siapa yang dirasakan kurang ajar.

Azlan Zaf yang tadinya mengelamun entah kemana kini sudah faham akan situasi. Sekarang dia fokus. Kompas di dalam kocek dia ambil dan goncang dua tiga kali, kemudian dia senyum bila jarum utuh menunjuk ke utara. Peta yang tersisip di pinggang dia buka lalu dia semak betul-betul. Bila sudah cukup yakin, peta itu dia lipat kembali. Kompas di uji semula.

"Creng, creng" Sunyi pagi itu berselang-seli dengan bunyi asahan pisau rambo Carlos Saat. Pisau yang makannya  daging minumnya darah itu dia pastikan betul-betul tajam. Sesekali dia uji pisau itu; dia toreh bilahnya ke lengan kiri yang penuh dengan parut-parut perang, jika berdarah, dia senyum, kemudian bilah itu dia jilat, kemudian dia senyum lagi bersama sisa-sia darah yang terpalit di bibir.

Di suatu sudut, Apih Karim sedang ralit mencatat sesuatu pada buku nota yang sudah kusam. Matanya tidak berkelip. Sesekali dia pandang ke langit; mengintai burung barangkali. Sejenak dua, dia kembali pada helaian buku nota, lantas jarinya sekali lagi mulai ligat mendayung batang pena- permulaan untuk sebuah kisah yang panjang, mungkin.

Dari jauh kelihatan Ripang Musa datang. Di bahunya terpikul sekampit guni yang terkandung didalamnya bekalan-bekalan hidup. Sebut saja apa- mancis? beras? kopi? ubat? rokok? morfem?- semua ada. Dia tahu perjalanan ini bukan main-main. Bekalan mesti cukup, persediaan mesti rapi. Ini bukan suka-suka. Kalau rohani jasmani tidak bersedia, dia tak datang ke gunung ini!

Shimi Manan tenang. Bibirnya muncung bersiul ikut rentak lagu Doa Buat Kekasih nyanyian Ramli Sarip duet dengan Khatijah Ibarahim. Bersahaja itu memang lagaknya. Kalaupun khuatir, perasaan itu pasti dia sorok dalam-dalam. Pendek kata, hanya tuhan, malaikat, dan syaitan sahaja yang tahu apa dia rasa.

Di sebalik pohon di kaki gunung itu, Abdillah Mamat petah mengucapkan ayat-ayat manis kepada kekasih hati, boleh jadi untuk yang terakhir kali. "Abang pergi ya sayang? Jangan tunggu" katanya. Kemudian dia dail nombor lain, dan ayat yang sama diulang lagi, dan lagi, dan lagi.

Dalam ramai-ramai, hanya Badrul Hakim dan Pesa Kamal saja yang nampak macam gembira. Dua orang ni memang tak takut mati. Ketika yang lain sedang genting, mereka berdua asyik bergurau senda macam hari raya. Sekejap Badrul Hakim tarik rambut cacak Pesa Kamal, sekejap Pesa Kamal tarik rambut kerinting Badrul Hakim. Kalau Ahmad Solihim ada, pasti dia akan kata "babi, celaka betul!"

Sambil memerhati kawan-kawan melakukan persiapan terakhir, Roy yang sedang bertenggek diatas sebuah batu gergasi cepat-cepat menghabiskan rokok kelima nya pagi itu. Setelah selesai, dia mengorak langkah perlahan ke arah mereka.

Kini semua mata memandang tepat ke arah Roy. Serius.

Setelah batuk-batuk kecil, Roy mula bersuara.

"Dengar sini semua" katanya.
"Perjalanan ini, terasa sangat menyedihkan,,,"

"Ahh, tak payah nak bermadah-madah sangat la!" Sampuk Ahmad Solihim yang datang entah dari mana. Baru selesai berak barangkali.
"Straight to the point la Roy!" Katanya lagi.

"Okay-okay" balas Roy, akur. Lalu dia sambung.
"Kawan-kawan, kalaupun kita mati hari ini, biarlah kita mati bermaruah! Kalaupun kita mati, biarlah kita mati sebagai pejuang!" Jerit Roy penuh semangat. Lagaknya tak ubah seperti seorang ketua turus angkatan perang.

"Ya!!" Kawan-kawan lain menyorak penuh tenaga. Kaki gunung itu bergegar. Unggas dan burung yang terkejut bertempiaran terbang.

Setelah selesai berkata-kata, dengan wajah bengis, Roy tarik parang yang terselit di pinggang. Tanpa rasa gerun, dia toreh jari kelingkingnya hingga berdarah, lalu dia titis darah itu ke dalam sebiji gelas besi. Carlos Saat sambung. Dengan pisau rambo nya yang siap diasah, dia toreh lengannya dalam-dalam, dan serentak darah memercik memenuhi separuh gelas. Kawan-kawan lain turut ikut serta menyumbang darah masing-masing.

Kini gelas itu sudah penuh dengan darah mereka.

Mula dengan Roy, kemudian Tengku Malik, kemudian Badrul Hakim, kemudian Carlos Saat, kemudian Ahmad Solihim, kemudian Apih Karim, kemudian Azlan Zaf, kemudian Shimi Manan, kemudian Pesa Kamal, kemudian Abdillah Mamat, kemudian Ripang Musa; darah dalam gelas itu mereka minum seorang demi seorang hingga ke titisan terakhir, sedikit pun tidak berbaki.

Berbekal doa, harapan, dan darah hanyir semangat, perjalanan dimulakan.

7 ulasan:

  1. mu-z mana?? adakah dia sedang sibuk bergusti dengan makhluk jin??

    BalasPadam
  2. wahhh!cantek,mudah dphami..cool

    BalasPadam
  3. ni cerita bersambung ke cmne nih?

    BalasPadam
  4. bila masa gua join black metal?

    BalasPadam
  5. i get the point

    BalasPadam