Jumaat, 4 Januari 2013

Mencari Teman Untuk Makan Tengahari

Sebenarnya saya baru jaga dari tidur yang panjang. Lena sekali saya tidur, hingga tak sedar yang waktu mulai meninggalkan saya. Berbantalkan lengan Zakiah Nurmala yang lembut, rasanya seperti tidak mahu bangun lagi. Untuk apa bangun, fikir saya, bila mana semua pun sudah hilang. Lebih baik saya disini, disisi Zakiah Nurmala, di atas katil kami yang empuk, saling memandang antara satu sama, dan kadang-kadang kami biarkan saja bibir-bibir kami bersentuhan, menzahirkan cinta yang kami khayalkan.

Tidur saya yang panjang berakhir bila saya celik mata dan lihat Zakiah Nurmala tiada disisi. Yang tinggal hanya bulu pelepah halus berwarna putih bertebaran di tempat pembaringannya. "Mana Zakiah?" Tanya saya kepada jam loceng berbentuk hati yang selalu kelewatan. Ia sekadar mengangkat bahu dan mencebikkan bibir. Barangkali kerana bateri yang tidak pernah diganti, ia menjadi kurang efisyen.

Sebenarnya hal ini sudah saya duga lama. Saya tahu satu hari nanti Zakiah Nurmala akan tetap pergi. Sama ada saya mahu atau tidak, perkara ini tidak mampu saya elak. Sebelum kami berbaring tempoh hari, dia ada berbisik kepada saya, menyatakan bahawa dia tidak akan pernah pergi, kerana cintanya adalah lautan luas dan langit biru, dan segala hijau yang terlihatkan pada daun-daun di seluruh dunia. Waktu itu saya paksikan mata saya ke arah matanya, dan saya lihat irisnya berada di bahagian kiri. Jadi saya tahu yang dia menipu. Saya tidak meragukan cintanya, tapi saya tahu yang dia akan pergi. Tapi tak saya duga perginya secepat ini; antara sekali pejam dan celik mata.

Jadi saya harus bangkit dari katil ini dan keluar mencari Zakiah Nurmala. Barangkali dia kini terperangkap di lubang yang paling dalam, menjerit meminta tolong namun suaranya tidak didengari. Atau mungkin seekor anjing liar sedang menggonggong tubuhnya yang sudah layu bersama sayap-sayap yang patah dan pakaiannya yang sudah koyak rabak, membawa Zakiah Nurmala pulang untuk dijadikan santapan anak yang baru dilahirkan.

Namun begitu saya harus makan dahulu untuk mengumpulkan tenaga yang kian merosot. Awak, ya awak, dengan tudung bawal kosong dan kardigan kelabu, yang sedang membaca tulisan saya ini dengan bibir yang diketapkan dan mata yang dirapatkan sedikit, sudikah kiranya awak makan tengahari dengan saya?

5 ulasan: