Khamis, 21 Julai 2011

Cerita Si Tiga Beradik.

     Ada sebuah negeri jauh yang namanya Negeri Kasih, negeri yang mana kewujudannya tidak dicatat di dalam peta. Kata orang tua-tua di situ, siapa-siapa yang boleh menghitung jumlah bintang semuanya sekali, orang itu akan menjadi kaya-raya. Jadi, rakyat di situ kerjanya tiadalah lain kecuali siang tidur, malam berjaga. Berjaga untuk mengira bintang. Berjaga untuk hidup senang.

    Walaupun begitu, masih ada beberapa kerat penduduknya yang waras, yang tidak mudah percaya pada siaran-siaran berita di peti televisyen mahu pun artikel-artikel akhbar arus perdana. Mereka-mereka ini tidak fikir bahawa dengan mengira bintang, mereka boleh hidup mewah. Kalau pun boleh, mustahil rasanya untuk mengira bintang sampai habis. Mereka-mereka ini di gelar oleh orang-orang Negeri Kasih sebagai  The Rebels. Dalam kelompok The Rebels ini, ada tiga orang yang darah nya sedarah, daging nya sedaging, atau mengikut bahasa mudah, adik beradik. Yang abang sekali di panggil Abang Long, yang kedua di panggil Abang Ngah,  dan yang ketiga di panggil Adik Bongsu.

    Di pendekkan cerita, si tiga ini cadang nya ingin merantau, ingin hidup senang dengan mencari rezeki di tempat orang, bukan dengan menghitung bintang. Selepas sedikit brainstorming, setuju lah mereka untuk bergerak ke arah barat, yang khabarnya ada sebuah negeri di sana, namanya Negeri Kacak, negeri yang namanya juga tidak dicatat di dalam peta.

    Berbekalkan sedikit makanan, air, GPS, serta sepatu Nike mahal yang di sarungkan ke kaki, maka perjalanan pun dimulakan. Si abang yang paling tua menetapkan pada GPS destinasi yang mahu dituju, iaitu Negeri Kacak. Jalan yang dilalui amat jauh dari peradaban sebarang makhluk. Walaupun begitu, si tiga beradik ini sangat riang sepanjang perjalanan. Gayanya, seolah-olah seperti mendapat berita bahawa mereka akan masuk syurga. Segala jenis lagu mereka nyanyi. Dari lagu Maher Zen-Insyaallah versi melayu hingga ke lagu Sex Pistols-God Save The Queen, semua mereka bedal!

    Akibat terlalu suka, tidak lah mereka sedar bahawa mereka telah tersesat. GPS yang di bawa pun tidak ada gunanya lagi jika tiada pengecas. Tambahan pula, mana nak cari sumber kuasa eletrik di tengah-tengah hutan begini. Semua jadi kucar-kacir. Makanan habis, air pun habis. Kasut Nike yang 'poyo' itu pun turut mengoyak, sambil melunturkan warnanya sendiri.

   Tiba-tiba, di kejauhan, si adik yang paling bongsu terlihat sesuatu yang elok-elok saja rupanya. Setelah diberitahu kepada si abang berdua, maka berlarilah mereka ke sana. Mana tahu kalau-kalau benda itu makanan, ada juga pengalas perut.

"Cis, ini tahi ni!"kata si Abang Ngah yang sampai dulu di tempat kejadian.

"Mana kau tahu tahi?mentang-mentang bentuk serupa tahi, jangan dituduh melulu!" sergah si Abang Long.

"Cuba kau pegang" cadang si Adik Bongsu.

"Lembik, macam tahi!" jerit si Abang Ngah sambil memegang benda misteri itu di tapak tangan.

"Hei, kalau pun lembik, tak semestinya tahi!" nafi si Abang Long.

"Cuba hidu, tengok busuk ke tak" cadang si Adik Bongsu sekali lagi.

"Busuk, macam tahi!" kali ni Abang Ngah tidak ragu-ragu lagi.

"Amboi, mentang-mentang la busuk, suka-suka aje kau kata benda itu tahi. Kau pun busuk juga!" Abang Long nampak gayanya betul-betul skeptis membela benda misteri itu.

"Ah,beginilah!"  Adik Bongsu sepertinya sudah bosan dengan sikap si abang-abang berdua. Cadangan terakhir dikemuka.

"Apa kata kalau kita cuba rasa sedikit seorang? Kalau sedap, maknanya makanan. Kalau tidak, tahi la jawapnya!"

   Kali ini keputusan harus muktamad.

   Benda misteri itu dicalit sedikit seorang, kemudian diletak ke lidah, gayanya seperti tukang-tukang masak yang mencuba resepi terbaru. Selang beberapa ketika, tiadalah lagi didengari sebarang persengketaan. Masing-masing sama riak mukanya. Si tiga beradik itu sudah ada kata sepakat. Jawapannya memang pasti. Tidak ada tapi-tapi lagi!

   Perjalanan yang sesat itu diteruskan. Kali ini, tiada lagi lagu-lagu berkumandang. Tiada lagi nyanyi-nyanyian meniru gaya suara Johnny Rotten atau Maher Zen.

Masing-masing senyap.
Masing-masing bengang.
Masing-masing menyumpah seranah di dalam hati. 

"Sudah la sesat, tak pasal-pasal termakan tahi!!"

4 ulasan: