Rabu, 27 Julai 2011

Karlos (bukan nama sebenar) Yang Kuat

   Karlos (bukan nama sebenar) adalah seorang yang kuat. Dalam kalangan kawan-kawannya yang sebaya, yang biasa lepak sekali minum air, dialah yang paling gagah. Kalau dilihat kepada perwatakannya yang macam ahli kongsi gelap itu, siapa tak gerun? Tambah lagi, rambutnya yang tajam macam duri landak hutan itu memang betul-betul boleh buat orang luka. Luka yang betul-betul. Luka yang berdarah. Kalau bercakap pasal anatomi pula, senang cerita, betis dia besar gajah, lengan dia besar badak. Karlos pantang kalau ada orang yang tak sebulu dengannya. Sangat-sangat pantang. Pendek kata, siapa-siapa yang dia tak puas hati, memang makan penumbuk tujuh puluh empat la jawabnya.

   Pernah sekali, waktu di Masjid Negara, ketika itu subuh. Tatkala Karlos ingin berwuduk (dia antara beberapa kerat ahli-ahli kongsi gelap yang masih teguh imannya), tiba-tiba si batang paip tembaga itu buat hal. Apa lagi, sekali dia siku, berderai kepala paip pecah. Habis memancut-mancut air keluar. Kecoh satu masjid! Berlari-lari pak gad datang. Nak marah, bukan sembarangan orang yang buat. Nanti tak pasal-pasal kepala pak gad yang berderai! Itu la yang orang-orang tua kata, kalau dasar gengster, pergi mana pun orang kecut!

   Seperti keras besi yang bisa lembut dengan api, seperti air batu yang cair dengan air, Karlos juga tidak terlepas dari hukum alam. Bila topik cinta dibuka, Karlos pasti terkesima. Sayu-sayu dia akan terkenang kekasih hati yang jauh. Betul la kata orang, setiap lelaki hebat di belakangnya ada wanita hebat. Kalau Hitler dengan Eva, kalau Rocky dengan Adrian, dan kalau Thurston dengan Kim, Karlos juga ada heroinnya. Walaupun begitu, si cinta hati Karlos ini amatlah rahsia. Kawan-kawanya tidak pernah kenal gerangan empunya badan. Kata Karlos, tidak ganas lah jika ianya diketahui. Mana dia nak letak muka kalau bos-bos kongsi gelap panggil dia "muka pembunuh, hati berbunga!"

   Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Karlos tidak terkecuali. Dia juga ada saat kejatuhan. Hendak dijadikan cerita, jika para pembaca yang kacak pernah ke tingkat dua pasaraya Giant Kuala Terengganu, di bahagian arked permainan video, pasti ada ternampak mesin penumbuk bukan? Mesin ini kononnya untuk menguj kekuatan tumbukan sang penumbuk. Mesin ini bukanlah dicipta untuk orang-orang kurus keding seperti Sake, Shimi, dan Malik. Mesin ini sepertinya tercipta untuk orang-orang seperti Rocky Balboa, Muhammad Ali, dan juga Karlos.

   Suata hari, Karlos beria-ria benar hendak menandingi catatan markah tertinggi di mesin itu. Bersama Sake dan Shimi, mereka pergi ke sana dengan seribu harapan. Bukan Karlos saja, Sake dan Shimi pun ingin mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau ada rezeki. Sampai di sana, Karlos segera menukar not seringgit menjadi sekeping syiling gangsa/tembaga/plastik, atau biasa orang panggil token saja. Berbekalkan azam dan kesungguhan, Karlos berjalan ke arah mesin bak seorang pahlawan yang menuju ke medan perang. Token dimasukkan. Budak-budak sekolah yang datang dari mana-entah segera mengerumuni, tidak ingin melepas peluang melihat sang gergasi beraksi.

"Kedebuk!" Satu tumbukan berat dilepas. Dilihat pada skrin mesin, skornya 64 kg!
"Whoaa!" Budak-budak sekolah kagum. Tak sia-sia mereka menonton.

   Cubaan kedua. "Kali ini perlu lebih padu!" Azam Karlos.

"Kedebukkkk!" Tiada keraguan. Tumbukan yang kedua ini memang kuasa badang! Skor di skrin kelihatan bertambah, dari 64 kg menjadi 68 kg!

   Karlos berundur. Walaupun sasarannya untuk mengatasi rekod sedia iaitu 71 kg tidak tercapai, dia puas. Sudah hampir-hampir katanya. Lain kali pasti tiada masalah. Sake dan Shimi cuba juga, namun skor mereka cukup-cukup makan saja.

   Ketika ingin beransur pulang, budak-budak sekolah yang tadinya menonton kini ingin menjadi pemain. Si penumbuk, yang agakya berada dalam lingkungan tingkatan dua atau tiga, badannya tidaklah besar tidaklah kecil, kelihatan siap menggenggam.

   Hajat ingin pulang dibiarkan seketika.

"Kedebukk!" Satu tumbukan dilepas.

   Sake dan Shimi tergamam. Karlos yang tadinya nampak berlagak kini senyap. Budak-budak sekolah bersorak sesama mereka, gembira dengan pencapaian kawannya itu.

   Pada skrin mesin, terpampang skor yang diperoleh. 69 kg!

P/s: Cerita ini aku tokok tambah supaya nampak lebih sedap. Siapa-siapa tak perlu malu. Karlos ini pun bukan lah nama sebenar! Tidak begitu, Karlos?

2 ulasan: