Sabtu, 23 Mac 2013

Pina Dalam LRT


“Get a room lah, fuckers!” bisik hati kecil Pina.

Pina adalah seorang gadis yang berantakan. Dia selalu bingung dengan dunia dan hal-hal yang berlegar di dalamnya, terutamanya yang ada kaitan dengan cinta dan kasih sayang. Dia mual dengan benda-benda romantis dan bait-bait indah dalam puisi; mual sampai terkadang mahu saja dia ambil pisau dan tikam manusia-manusia bercinta ini sampai lunyai, lebih-lebih lagi pasangan kekasih yang saling tertidur di hadapannya saat ini.

Gila!

Pina suka kek coklat. Suka Pina kepada kek coklat  adalah lebih hebat dari sukanya dia kepada benda-benda lain, seperti anjing kecil yang memakai kolar hitam dan pokok kaktus renek. Bagi Pina, cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada kek coklat, dan cinta selain kepada kek coklat adalah cinta yang jijik dan songsang.

Jijik!

Lrt berhenti lagi. Tapi bukan di stesen yang Pina tuju. Jauh lagi.

Pina keluarkan sebatang pen dan sebuah diari kecil berwarna hitam. Terus dia mula mencatat.

Ali babi Ali babi Ali babi…

Ayat itu dia ulang sampai habis tiga muka surat. Puas. Pina hela nafas panjang.

Sekeping gambar lama yang tersisip di celahan diari dikeluarkan. Seorang gadis bermata polos ketawa riang sambil menarik rambut seorang lelaki kurus memakai t-shirt dengan gambar Deborah Harry.

Air mata Pina menitis perlahan, berhati-hati meluncuri wajahnya yang mulus. Pina tak suka begitu, jadi air mata itu dia seka cepat-cepat.
                                                                                                                                           
Diari hitam dibuka semula, dan dia sambung tulis “Ali babi Ali babi Ali babi” sampai letih, lalu tertidur.

Jumaat, 4 Januari 2013

Mencari Teman Untuk Makan Tengahari

Sebenarnya saya baru jaga dari tidur yang panjang. Lena sekali saya tidur, hingga tak sedar yang waktu mulai meninggalkan saya. Berbantalkan lengan Zakiah Nurmala yang lembut, rasanya seperti tidak mahu bangun lagi. Untuk apa bangun, fikir saya, bila mana semua pun sudah hilang. Lebih baik saya disini, disisi Zakiah Nurmala, di atas katil kami yang empuk, saling memandang antara satu sama, dan kadang-kadang kami biarkan saja bibir-bibir kami bersentuhan, menzahirkan cinta yang kami khayalkan.

Tidur saya yang panjang berakhir bila saya celik mata dan lihat Zakiah Nurmala tiada disisi. Yang tinggal hanya bulu pelepah halus berwarna putih bertebaran di tempat pembaringannya. "Mana Zakiah?" Tanya saya kepada jam loceng berbentuk hati yang selalu kelewatan. Ia sekadar mengangkat bahu dan mencebikkan bibir. Barangkali kerana bateri yang tidak pernah diganti, ia menjadi kurang efisyen.

Sebenarnya hal ini sudah saya duga lama. Saya tahu satu hari nanti Zakiah Nurmala akan tetap pergi. Sama ada saya mahu atau tidak, perkara ini tidak mampu saya elak. Sebelum kami berbaring tempoh hari, dia ada berbisik kepada saya, menyatakan bahawa dia tidak akan pernah pergi, kerana cintanya adalah lautan luas dan langit biru, dan segala hijau yang terlihatkan pada daun-daun di seluruh dunia. Waktu itu saya paksikan mata saya ke arah matanya, dan saya lihat irisnya berada di bahagian kiri. Jadi saya tahu yang dia menipu. Saya tidak meragukan cintanya, tapi saya tahu yang dia akan pergi. Tapi tak saya duga perginya secepat ini; antara sekali pejam dan celik mata.

Jadi saya harus bangkit dari katil ini dan keluar mencari Zakiah Nurmala. Barangkali dia kini terperangkap di lubang yang paling dalam, menjerit meminta tolong namun suaranya tidak didengari. Atau mungkin seekor anjing liar sedang menggonggong tubuhnya yang sudah layu bersama sayap-sayap yang patah dan pakaiannya yang sudah koyak rabak, membawa Zakiah Nurmala pulang untuk dijadikan santapan anak yang baru dilahirkan.

Namun begitu saya harus makan dahulu untuk mengumpulkan tenaga yang kian merosot. Awak, ya awak, dengan tudung bawal kosong dan kardigan kelabu, yang sedang membaca tulisan saya ini dengan bibir yang diketapkan dan mata yang dirapatkan sedikit, sudikah kiranya awak makan tengahari dengan saya?

Jumaat, 13 Julai 2012

Resureksi Suzy


Sebenarnya dia adalah malaikat yang menyamar. Aku tahu itu waktu dia minta diri untuk pulang. Saat dia melangkah pergi, ada sepasang sayap tumbuh di belakangnya. Dia lalu terbang ke langit, dan itulah kali terakhir aku melihat dia.

Pernah sekali aku tanya dia tentang kematian, tentang bagaimana rasanya mati. Dia hanya ketawa sambil menutup bibirnya yang manis.

“Seluruh dunia akan kelihatan kabur, dan saat itu barulah kau benar-benar sendiri” katanya.

“Jadi itu yang kau rasa, sendiri?” aku tidak pasti.

“Seperti berdiri di tengah padang yang luas, dan rumputnya mulai pudar. Dari hijau, perlahan-lahan jadi putih, kemudian transparen, lalu jadi hitam dan terus hilang. Rasanya sakit, it depends.” Dia sambung.

Aku diam dan biarkan saja suasana jadi sunyi. Dia keluarkan kotak rokok dari beg sandangnya, kemudian dia bakar sebatang. Rokok itu dia sedut dalam, lalu terbatuk-batuk. Aku ketawa melihat dia. Dia mana pernah merokok sebelum ini.

“Kau malaikat?” aku tanya dia yang sepertinya pening gara-gara asap rokok yang masih baru bersuai-kenal di paru-parunya.

“Tak. Kan aku sudah bilang yang aku ini orked biru.”

“Ah kau tipu. Orked biru mana mungkin hidup panas-panas begini.” Aku kata sambil ambil rokok yang dibiarkan di jarinya. Aku sedut rokok itu dan aku dapat rasa bibirnya pada bibir ku.

“Suka hati kau lah.” Dia jawab antara endah tak endah.

“Jadi, sebelum kau mati, kau apa?” aku tanya dia.

Dia pandang aku. Dalam. Lalu matanya dialihkan jauh ke langit petang.

“Suzy” dia jawab pendek.

***

Suzy memandang langit yang petang itu entah mengapa dirasakan berwarna merah, padahal ia tetap biru seperti biasa. Di stesen lrt yang tak pernah surut dengan manusia itu, dia biarkan saja hatinya melayang jauh. Di tepinya ada seorang lelaki yang kau tak perlu tahu namanya. Di atas kepalanya ada halo, dan dia punya sayap warna hitam.

“Begini. Apa kata kita main Rolet Rusia?” tanya lelaki itu.

“Rolet Rusia? Kau gila!” Suzy jawab dengan nada yang terkejut.

“Come on lah! Suzy yang aku kenal tak akan takut dengan cabaran” kata lelaki itu yang kelihatan sangat bersungguh.

Suzy diam sekejap. Dagunya diusap lagak pemikir.

“Kalau aku menang?”

“Kalau kau menang, kau cakap saja cinta siapa kau mahu, dan aku akan panahkan busur ini tepat ke jantungnya, dan dia akan jadi milik kau selama-lamanya.” Kata lelaki itu sambil menganjurkan busur di tangan kirinya ke udara.

“Sungguh? Kalau lelaki itu yang aku mahu, macam mana?” Suzy tunjuk ke arah poster  filem di dinding stesen lrt yang memaparkan seorang mat saleh sedang memegang sepucuk pistol.

“Hey, tak percayakan aku?” tanya lelaki itu.

Suzy senyum. Dia tahu lelaki itu tak menipu.

“Baiklah. Mana pistolnya?” tanya Suzy.

“Nanti, kau tak mahu tahu apa yang jadi kalau kau tewas?”

“Tewas maknanya mati, kan?” jawab Suzy.

“Tak semudah itu” lelaki itu senyum ringkas.

“Habis?” Suzy bingung.

“Tengoklah macam mana” kata lelaki itu sambil mengeluarkan sepucuk revolver entah dari mana. Sebutir puluru di masukkan, dan dia ……………………………………………………………………………….. (aku tak tahu nak terangkan bagaimana, tapi disini lagak lelaki itu seperti adegan mengisi peluru dalam filem koboi)

Revolver itu dihulurkan kepada Suzy. Suzy ambil dengan tenang. Wajahnya langsung tak berekspresi. Tapi jantungnya ada getar, sedikit, dan ia terlihatkan oleh matanya yang berhenti bersinar.

Suzy halakan revolver itu ke dalam mulutnya, dan tiba-tiba aku rasa janggal dengan cerita ini kerana orang yang lalu-lalang langsung tidak perasan. Ah, anggap saja kejanggalan ini sebagai satu lubang hitam yang tak kau pedulikan.

Jadi Suzy, dia tarik picu revolver.

“BANG!”

Dan kepalanya hancur berkecai.

Sabtu, 23 Jun 2012

Wayar Dan Ombak Dan Istana Pasir Fara


Beberapa hari lepas, aku terlibat dalam satu kemalangan jalanraya. Waktu itu aku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menduduki kertas Discourse and Profession. 


Di simpang keluar universiti, lampu isyarat tunjuk warna merah. Aku berhenti. Sambil tunggu lampu tukar warna jadi hijau, aku pandang keliling. Kosong. Entah kemana manusia waktu itu, aku tidak pasti. Yang aku tahu semuanya kosong, sepertinya ada pesta keramaian di alam lain, dimana semua orang sedang sibuk menari dengan teman masing-masing, meninggalkan aku sendirian di simpang keluar universiti.

Jadi lampu merah itu aku putuskan untuk langgar saja.

Tiba-tiba, datang sebuah lori minyak dari sebelah kiri aku. Laju. Aku yang menunggang skuter dirempuh seperti anak kecil yang ditampar oleh tangan raksaksa ; kuat dan padu. Aku terpelosok ke bawah lori minyak yang sudah hilang kawalan, diseret ke pinggir jalan yang seperti aku bagitahu tadi, kosong tanpa orang. Lori minyak itu meletup, dan aku tidak pasti kenapa. Yang aku tahu, ia meletup, dan api mulai menyambar tubuh aku.

Perlahan-lahan, aku terbakar, terbakar, dan terbakar. Aku makin menghangus, seperti ayam yang berbeku yang dibiarkan terlalu lama di atas pemanggang; terlalu lama hingga aku rentung dan jadi abu.

Dengan izin tuhan, angin monsun datang dan bawa abu mayat aku terbang. Untuk seketika, aku dapat rasa bagaimana kiranya aku seekor burung;

terbang bebas meniti udara,
melihat dunia tanpa dongak kepala,
meneropong ke setiap pelusuk yang aku lalui,
ketawa sinis pada bumi yang sepi,
(walaupun dalam bentuk abu mayat)

***

Angin monsun itu, ia bawa aku ke pantai.

Di pantai, aku ditebarkan ke laut yang luas. Aku mula bersejati dengan air; menjadi sebahagian dari titis-titis biru, dan membentuk gelombang yang beralun-alun. Di atas aku, sebuah sampan nelayan berkolek tenang. Aku lihat seorang lelaki tua menebar jala. Dia sepertinya hampa bila yang sangkut hanyalah rumpai laut. Aku berdoa kepada tuhan supaya lelaki tua itu jatuh ke dalam laut dan terjumpa peti harta karun peninggalan lanun. Aku juga berdoa semoga dia bisa berenang ke daratan.

Sedang aku berdoa, tiba-tiba ribut datang. Dengan serta-merta, laut jadi gila. Aku yang tadinya hanyalah alunan gelombang tenang kini sudah jadi ombak besar yang garang. Ribut menghembus angin taufan, dan aku kini siap sedia untuk menghempas daratan.

Di gigi air, ada seorang gadis sedang membina istana pasir. Gadis itu, aku tidak tahu apa namanya. Andaikan saja dia Fara, seorang pelajar jurusan Bahasa Inggeris yang sedang menuntut di UiTM.

Jadi Fara; dia begitu asyik dengan istana pasirnya. Tanpa dia sedari, aku sedang menghampirinya dari tengah laut dalam bentuk gulungan ombak yang ganas. Aku cuba jerit “Fara! Fara!” agar dia dengar. Tapi dia terlalu memberikan perhatian pada dekorasi tembok istana. Aku pula semakin deras dan meninggi, sedia untuk menghempasnya bila-bila masa dari saat itu.

“Gebushhhhhhhhh!”

Istana pasir Fara hancur dalam sekelip mata. Fara pula terkapai-kapai cuba menarik diri ke daratan. Tapi aku terlalu kuat. Dan seperti Fara, aku juga turut hilang kawalan terhadap diri sendiri. Selang beberapa saat, Fara semakin tenggelam. Udara untuknya mulai putus. Fara melemah dan melemah. Dia akhirnya lemas, dan aku hanya mampu memeluknya sambil membiarkan saja dia mati dalam dakapanku.

***

Kini sudah tiga hari Fara mati. Dia sedang terapung dihanyut arus yang gelincir. Aku harap mayatnya tidak ditemui, kerana aku sedang tunggu dia mereput. Nanti bila dia larut, kami akan bersatu. Dan kami –aku dan Fara – akan jadi ombak yang paling kuat. Mungkin dalam setahun dua, kami akan cuba untuk melemaskan kanak-kanak yang berlari riang di pesisir pantai. Kanak-kanak itu nanti, andaikan saja namanya Cheng.



Selasa, 5 Jun 2012

Bitch Si Penunggang Skuter Dengan Jaket Belang, Mata Forlorn, dan Helmet Kura-kura

     Pernah sekali, lebih kurang pukul empat pagi, aku keluar pergi makan dengan Badrul dan John.

     Okaylah aku malas nak cerita tentang makan. Jadi dipendekkan cerita, waktu pulang, aku memandu. Badrul dan John tidur nyenyak dalam kereta.

     Sampai di satu lampu isyarat yang lamanya ya-tuhan-lama-betul, aku cucuh rokok sebatang. Tiba-tiba ada satu susuk berjaket belang dengan seluar jeans skinny dan helmet kura-kura menunggang skuter berhenti di tepi. Aku, -sebagai manusia bertamadun yang anti kapiatalisma dan cintakan seorang gadis yang aku pasti dia tidak sedari kewujudanku-, curi-curi pandang. Dan apa yang aku lihat adalah seorang bitch bermata forlorn yang cantiknya lebih kurang macam Jenny Lee Lindbergh.

     Jadi, di lampu isyarat yang sepertinya tidak mahu hijau itu, aku terpana.

     Rokok yang terkepit di jari aku biar berasap. Lagu di radio lantas memenuhi atmosfera, membentuk satu situasi embien yang gayanya semacam poppalagio: asyik dan khayal. 

     Masa terus berdetak dan bumi terus berputar, tapi kami: aku dan bitch si penunggang skuter dengan jaket belang, mata forlorn, dan helmet kura-kura (dan Badrul dan John yang sedang tidur) tertinggal di situ, di lampu isyarat yang selalu merah dan merah dan merah dan merah.

     Lima tahun kemudian, lampu isyarat itu tiba-tiba bertukar hijau. Badrul dan John aku lihat masih nyenyak tidur (atau mungkin sudah mati).  Bitch si penunggang skuter dengan jaket belang, mata forlorn, dan helmet kura-kura aku lihat mulai pergi, 

menuju ke hadapan, 

lalu dengan lemah-lembut, 

bertukar menjadi seekor rama-rama berwarna oren, 

mengepak sayap, 

terus ke awangan. 

     Dan aku yang sepertinya baru ditembak tepat di kepala dengan shotgun, perlahan tekan pedal minyak, lalu belok ke kiri. 

Jumaat, 18 Mei 2012

Gadis Bercermin Mata Bulat Dengan Iris Yang Samar-samar Kelihatan

Waktu mahu buka pintu rumah, aku teringat yang rokok surya aku tertinggal di kedai makan. Jadi aku cepat-cepat start motor dan bergegas ke kedai. Rokok dalam kotak masih banyak. Sayang.

Sampai di kedai, aku pandang meja yang terletak di penjuru.

Ada.


Nasib baik.

Perlahan aku turun dari motor dan bergerak ke arah meja. Aku ambil kotak rokok lalu masukkan dalam kocek seluar, cuba untuk beredar secepat mungkin.

Tiba-tiba ada satu suara tegur aku dari belakang.

Itu kuncinya tak nak ambik sekali ke?

Suara milik seorang gadis bercermin mata bulat dengan iris yang samar-samar kelihatan.

Oh. Kunci tu, aku sengaja tinggal.


Tinggal? Kenapa?


Sebab aku tak jumpa mana pintunya. Kunci sia-sia.


Alah, bawaklah balik. Mana tahu lepas ni jumpa?


Takpelah. Aku dah malas. 


Jadi tinggalkan saja disitu?


Yep.

Dia yang seperti kasihan, ambil kunci itu lalu cuba di pintu hatinya.

Tak padan.


Kan aku dah kata?


Hmm.Jadi, tinggalkan disini?


Tinggalkan saja. 

Dia biarkan kunci itu di atas meja, lalu berlalu pergi sambil bibirnya perlahan menyanyi lagu Tired of Sex dari Weezer.












Jumaat, 11 Mei 2012

Jatuh

Burung kecil yang berwajah kuda belang dan memakai jersi Villareal itu hinggap di bahu aku. Perlahan paruhnya merapat ke telinga aku yang sebelah kiri, lalu dia bisik.

Lupakan saja.


Kenapa?


Nanti kau jatuh lagi.


Jatuh?


Yelah, jatuh.


Kalau jatuh kenapa?


Aku takut kau tak akan bangun.


Hey jangan lah bimbang, kan aku dah biasa jatuh?


Ya aku tahu. Sekadar nasihat. Kau yang jatuh, bukannya aku.


Hmm. Jadi berapa kali harus aku jatuh sebelum aku dapat terbang dengan dia?


Jangan tanya aku. Aku bukan tuhan. Aku hanya seekor burung.


Hmm.

Masa berhenti. Aku tenung skrin telepon bimbit kuning lama-lama. Ucapan "selamat malam" yang aku taip tadi, patut aku hantar atau tidak?

Jumaat, 4 Mei 2012

Heima

Waktu kau tanya aku bagaimana aksara-aksara yang putih itu dieja, mahu saja aku bisik di telinga kanan kau (dengan yakin)- heima- dan bagitahu kau maknanya "di rumah".

Dan kau pasti akan ulang, sekurang-kurangnya dua kali.

Heima?


Heima.

Dan aku akan ketawa kecil sambil tatap mata kau yang bila aku pandang itu, aku lihat syurga (sebab aku nampak kanak-kanak berbaju putih berlari riang).

Kemudian, mahu saja aku terus terang dengan kau, katakan yang kau buat jantung aku berdegup kencang seperti ada hamster berlari di dalamnya.

Kau buat darah aku mengalir laju.


Kau buat masa aku bergerak perlahan.

Mahu aku waktu itu, kau saja.

Tapi aku hanya mampu kaget, hilang arah oleh tutur kau yang spesifik untuk aku; lelaki yang _______ (kau rasa?).

Heima yang aku sebut itu, aku tak pasti sama ada kau dengar atau tidak.


Sabtu, 21 April 2012

Lalat


Di kamar empat segi
Di paku ruang sunyi
Telanjang tanpa benang
Daging masih bertulang
Lentang di lantaian putih
Jasad yang mulai reput
Hancur ditindih sedih

Lalat pun tiada mahu hurung
Takut jangkit dek si bangkai
Takut nanti tak bisa terbang
Takut nanti punah terbarai
Takut ditusuk pilu lebihan
Takut nanti mati seorang


Jumaat, 20 April 2012

Cinta Sampai Ke Ribu-ribu Yang Kau Tak Mampu Bilang.

Kami baring di atas katil yang cadarnya warna putih. Aku peluk dia dari belakang sambil genggam erat jari-jarinya yang halus.

 Malam itu sunyi. Di luar hujan mulai menitis renyai.

"I love you" aku bisik di telinganya.
"I love you too" dia balas perlahan.

Sunyi lagi. Kali ini sunyinya lama betul.

Setengah jam berlalu, dan sunyi mulai pecah.

"I love you" dia bisik. Tangannya genggam kuat jari-jari aku.

"I love you too" aku jawab.

 I love you three...


I love you four...


I love you five...


I love you six...


I love you seven...

Tiga kata itu mulai melarat. Malam kami tidak sunyi lagi.
....
...
..
.


I love you ten thousands seventy three hundreds, dan dia berhenti. Waktu itu jam sudah tunjuk pukul lima pagi.

Di luar hujan masih renyai-renyai.

Mesin di tepi katil (yang aku tak tahu apa namanya) mulai berbunyi.

"Tet, tet, tetttttttttttttttttttttttttt..."

Dua orang jururawat bergegas ke arah kami. Seorang memeriksa bacaan pada mesin, seorang lagi memeriksa nadi dia.

Mereka lalu berpandangan dengan mata yang sayu.

"Dia dah tak ada encik" kata jururawat yang memakai tag nama Belinda kepada aku.

Aku angguk lemah.

Dengan rangkul aku yang masih utuh, perlahan aku bisik di telinga dia, untuk kali yang terakhir.

I love you for a thousand more.

Rabu, 28 Mac 2012

Asmara Jaluran Kabel Eletrik Hitam

      Dari luar tingkap bilik aku, ada satu jaluran kabel eletrik warna hitam yang panjang. Aku pun tak perasan kabel ni wujud. Cuma bila pagi tiba, bila matahari yang oren mula memancar, aku selalu dengar bunyi cit cit cit cit dari luar tingkap bilik aku; bunyi dua ekor burung kecil yang selalu bertenggek di atas jaluran kabel eletrik hitam itu.

      Burung kecil yang dua ekor itu warnanya koko. Aku tak tahu mereka burung jenis apa. Yang aku tahu, mereka suka buat bunyi cit cit cit cit. Aku rasa mereka pasangan kekasih, dan jaluran kabel eletrik hitam itu adalah tempat mereka memadu asmara.

     Pagi kelmarin, macam biasa; mereka di situ. Aku tak tahu apa mereka cakap. Aku tak faham bahasa burung. Aku tak tahu mereka bermanja atau bergaduh.

     Jadi aku teka.

     Cit cit cit cit cit? (Awak bila kita nak kahwin?)

     Cit cit. Cit cit cit. Cit cit cit cit cit. (Nantilah dulu. Kita kan muda lagi. Sekolah pun tak habis lagi.)

     Cit cit cit cit cit. Cit cit cit cit cit? (Tapi saya dah mengandung ni. Nak buat macam mana?)

     Cit cit cit?! (Are you serious?!)

     Cit cit. Cit cit cit cit-cit cit cit. (Ye la. Takkan nak main-main pulak benda macam ni.)

     Cit cit. Cit cit cit cit! (Anak siapa? I'm sure that's not mine!)

     Cit cit cit! Cit cit cit cit cit cit! (Anak awak lah! Awak cakap awak akan bertanggungjawab!)

     Cit cit cit cit! Cit cit cit cit cit cit cit? Cit cit cit cit cit cit! (Watch your mouth girl! Entah anak siapa yang kau kandung, sedap-sedap kau nak kata itu anak aku? Dasar betina murahan!)

     Mereka selalu disitu, setiap pagi, di atas jaluran kabel eletrik hitam. 

     Tapi tidak pagi tadi.


Sabtu, 24 Mac 2012

Sampah Nombor Sembilan

Sebenarnya aku cintakan kamu.

Tapi kamu selalu lari dari aku.

Jadi satu hari nanti, aku harap kamu eksiden dan patah kaki.

Khamis, 22 Mac 2012

Mesin Masa Yang Ketinggalan Zaman

Juwita; suatu hari aku bertemu dia. Waktu itu dia bekerja sebagai gadis cashier di sebuah 7eleven.

"Nak beli apa?" Dia tanya.

"Boleh bawa saya ke tahun 2007?" Aku kata.

"Kenapa?" Dia tanya lagi.

"No reason" Aku kata.

"Mana boleh no reason!" Bibirnya mencebik manja.

"Okay okay. Sebenarnya saya mahu jadi pemuja rahsia semula" Jawab aku terus terang.

"Kenapa perlu pergi ke masa lalu? Sekarang tak boleh?" Dia tanya lagi.

"Tak boleh, rasa tu dah hilang" Aku kata.

"Hmmm" Dia keluh panjang.

"Sebenarnya saya tak boleh bawa awak ke masa lalu. Tapi, saya boleh bawa awak ke masa depan. Awak mahu?" Dia tanya aku.

"Kenapa?" Kali ini aku pula yang tanya dia.

"Supaya awak boleh jadi pemuja rahsia semula?" Dia jawab, tapi tak pasti.

"Tak boleh. Kan saya dah kata rasa tu dah hilang." Aku kata.

"Hmmm" Dia mencebik lagi. Kali ini seakan merajuk.

Ah Juwita, mesin masa yang ketinggalan zaman! 

Aku tinggalkan dia disitu untuk ke 7eleven yang lain.

Sabtu, 10 Mac 2012

Kemalangan Yang Indah Bersama Gadis Berambut Ungu (Gula-gula perisa asam jawa)

     Tadi aku ke Dungun ikut kawan makan kenduri. Dalam kereta aku duduk belakang. Tiba-tiba ada seorang gadis di tepi aku. Dia cabut earphone dekat telinga aku lalu pasang di telinga dia.


     "Lagu apa ni wak?" dia tanya manja.


     "Lagu mono, yearning tajuk dia" Aku kata.


     "Bila dia nak start nyanyi?" dia tanya lagi.


     "Mono tak ada nyanyi. Suara dia tak sedap" aku jawab.


     "Ohh. Ok" Dia senyap. 


     Aku suka bila angin belai rambut dia yang warna ungu tu. Aku pandang dia sampai dia tertidur atas bahu aku.


     Kereta melunjur laju. Aku pun akhirnya tertidur juga; tidur sebelah gadis berambut ungu yang aku tak tahu datang dari mana.


***
     "Sretttttttttttt!"


     Aku tersedar dari tidur bila Hafiz (kawan aku yang bawa kereta) brek mengejut. Panik juga waktu itu. Tanpa paling ke tepi, aku tanya dia (gadis berambut ungu) ok ke tak.


     "Mu cakap dengan sapa?" Tanya Pop yang duduk di kerusi penumpang kat depan.


     Aku yang masih bingung, pandang tepi dan yang ada hanyalah bayang-bayang aku sendiri.


     Aku senyum. Aku tahu gadis berambut ungu itu sudah bertukar menjadi gula-gula perisa asam jawa, dan kini dia duduk tenang dalam kocek aku. Sebelum telan, aku bagitahu dia (gadis berambut ungu aka gula-gula asam jawa) "tenang, awak akan jadi sebahagian dari saya".


     Akhirnya, kami bersatu dan hidup bahagia sampai sekarang.

Selasa, 6 Mac 2012

Review Tentang Langit Vanilla

Ada orang, seninya membawa dia jauh dari tuhan yang maha seni.
Ada orang (baca: Wani Ardy), seninya membawa dia dekat kepada tuhan yang maha seni.

Isnin, 5 Mac 2012

Cerita Paling Hebat Di Pulau Perhentian

     Bimbang ada penyu yang akan salah anggap bahawa objek itu adalah rumpai laut- lalu makan, dan akhirnya mati  tercekik gara-gara cinta kita yang sudah putus dua (satu untuk kau satu untuk aku)-; 
aku terjun ke laut untuk kutip balik foto kau yang aku gumpal dan buang tadi. 

Khamis, 1 Mac 2012

Di Awan Yang Hitam Dan Kancil Yang Putih

     Kalau aku burung, dan kau burung. Aku terbang, dan kau terbang.

     Dalam perjalanan ke awan, sayap kita saling mendakap. Paruh kita mula mendekat, cumbu rakus, dan aku bersiul "i love you i love you i love you" dalam bahasa burung.

     Sampai. Tapi awan hari ini hitam.

     "Kita bertenggek sekejap" aku kata. Hajatnya selepas ini mahu terus ke bintang.

     Hujan mula turun. Watak kita mula berevolusi menjadi sepasang kekasih, terperangkap di dalam sebuah kereta kancil putih yang kehabisan minyak.

     Kau marah-marah, tapi aku kata ini pengalaman. Kau marah-marah lagi, kali ini aku senyum dan cubit pipi kau.

     Kau diam, lalu kau mula menghilang seperti kapal di tengah laut diselubung kabus tebal.

     Watak kita berevolusi lagi. Yang tinggal kini cuma aku.

Selasa, 28 Februari 2012

Bas Berwarna Oren

Bila hari jadi awak?

Lambat lagi...

Lambat lagi tu bila?

Lagi dua bulan?

Ohh lambat lagi...

Dia senyum. 

Anyway, selamat hari jadi...

Thanks.

Dia senyum lagi.

Bas sampai. Aku pergi tanpa sempat tanya nama gadis itu.


Isnin, 27 Februari 2012

Masa-masa Begini

Masa-masa begini,
dulu,
aku selalu rasa jatuh.

Sekarang,
masa-masa begini,
masa aku jatuh lagi,
kau ada.


Nasib baik.

Selasa, 14 Februari 2012

Aku Mengorek Tabung Untuk Membeli Sebatang Rokok

Aku mengorek tabung untuk membeli sebatang rokok.

Ayat diatas adalah satu penyataan dari aku. Secara literal, aku rasa semua orang pun boleh faham apa maksudnya. Tapi kalau difikirkan dengan lebih kritis, sebenarnya ada tiga isu utama yang ingin aku bangkitkan.

Pertama, tabung. Ya aku ada tabung. Tabung ini gunanya untuk simpan duit, khususnya syiling. Tabung ini aku dapat dari kawan Fatah yang bekerja di kedai servis alat penghawa dingin. Jadi, apa kaitannya penghawa dingin dengan tabung? Begini. Tabung itu asalnya adalah tong gas penghawa dingin, yang apabila gasnya habis, ia jadi kosong dan sunyi. Saiz nya boleh tahan besar; senang cerita bayangkan saja tong gas memasak di rumah awak dikerat dua. Jadi sebagai seorang yang menganggap dirinya sebagai pencinta alam, tong gas itu aku kitar semula menjadi tabung. Power kan? Okay. Jadi sebenarnya aku menabung untuk apa? Nah disinilah main pointnya berlegar. Bayangkan jika ada gadis yang mahu berkongsi hidup dengan aku, dan aku tanpa berfikir panjang terus buat keputusan untuk kahwin. Terburu-buru begitu, mana aku nak cekau duit? Sekarang nampak apa gunanya tabung besar yang aku harap ia penuh suatu hari nanti?

Kedua, sebatang rokok. Sebatang rokok untuk perokok tegar seperti aku, cukup kah? Jawapnya mudah- tidak. Jadi nampak pointnya? Ah malas betul nak tanya kalau tak ada orang nak jawab ni. Apa yang aku nak bagitahu adalah aku tengah dalam proses untuk berhenti merokok. Kata orang awek suka lelaki tak merokok. Lelaki tak merokok ni mulia kata mereka. Jadi aku harap dah berhenti nanti dapat lah awek seorang dua. Kalau tak dapat aku cadang nak pecah tabung, beli rokok banyak-banyak dan merokok balik. Muahahaha.

Okay point yang ketiga dan terakhir- mengorek tabung. Haa ini sebenarnya point yang paling penting sekali. Mengorek tabung menunjukkan bahawa aku tak ada duit. Okay bukan tak ada tapi kurang bak kata Abdillah Mohamad (tak baik bagitahu duit tak ada langsung, nanti rezeki lari). Jadi kalau duit kurang, macam mana nak simpan dalam tabung? Macam mana nak ada awek? Macam mana nak kahwin? Paling scary, macam mana nak beli rokok? Haa nampak dia punya connection?

Jadi sebagai konklusinya, ni nombor akaun Bank Islam aku- 13017021108625.