Sebenarnya saya baru jaga dari tidur yang panjang. Lena sekali saya tidur, hingga tak sedar yang waktu mulai meninggalkan saya. Berbantalkan lengan Zakiah Nurmala yang lembut, rasanya seperti tidak mahu bangun lagi. Untuk apa bangun, fikir saya, bila mana semua pun sudah hilang. Lebih baik saya disini, disisi Zakiah Nurmala, di atas katil kami yang empuk, saling memandang antara satu sama, dan kadang-kadang kami biarkan saja bibir-bibir kami bersentuhan, menzahirkan cinta yang kami khayalkan.
Tidur saya yang panjang berakhir bila saya celik mata dan lihat Zakiah Nurmala tiada disisi. Yang tinggal hanya bulu pelepah halus berwarna putih bertebaran di tempat pembaringannya. "Mana Zakiah?" Tanya saya kepada jam loceng berbentuk hati yang selalu kelewatan. Ia sekadar mengangkat bahu dan mencebikkan bibir. Barangkali kerana bateri yang tidak pernah diganti, ia menjadi kurang efisyen.
Sebenarnya hal ini sudah saya duga lama. Saya tahu satu hari nanti Zakiah Nurmala akan tetap pergi. Sama ada saya mahu atau tidak, perkara ini tidak mampu saya elak. Sebelum kami berbaring tempoh hari, dia ada berbisik kepada saya, menyatakan bahawa dia tidak akan pernah pergi, kerana cintanya adalah lautan luas dan langit biru, dan segala hijau yang terlihatkan pada daun-daun di seluruh dunia. Waktu itu saya paksikan mata saya ke arah matanya, dan saya lihat irisnya berada di bahagian kiri. Jadi saya tahu yang dia menipu. Saya tidak meragukan cintanya, tapi saya tahu yang dia akan pergi. Tapi tak saya duga perginya secepat ini; antara sekali pejam dan celik mata.
Jadi saya harus bangkit dari katil ini dan keluar mencari Zakiah Nurmala. Barangkali dia kini terperangkap di lubang yang paling dalam, menjerit meminta tolong namun suaranya tidak didengari. Atau mungkin seekor anjing liar sedang menggonggong tubuhnya yang sudah layu bersama sayap-sayap yang patah dan pakaiannya yang sudah koyak rabak, membawa Zakiah Nurmala pulang untuk dijadikan santapan anak yang baru dilahirkan.
Namun begitu saya harus makan dahulu untuk mengumpulkan tenaga yang kian merosot. Awak, ya awak, dengan tudung bawal kosong dan kardigan kelabu, yang sedang membaca tulisan saya ini dengan bibir yang diketapkan dan mata yang dirapatkan sedikit, sudikah kiranya awak makan tengahari dengan saya?
Jumaat, 4 Januari 2013
Jumaat, 13 Julai 2012
Resureksi Suzy
Sebenarnya dia adalah malaikat yang menyamar. Aku tahu itu
waktu dia minta diri untuk pulang. Saat dia melangkah pergi, ada sepasang sayap
tumbuh di belakangnya. Dia lalu terbang ke langit, dan itulah kali terakhir aku
melihat dia.
Pernah sekali aku tanya dia tentang kematian, tentang
bagaimana rasanya mati. Dia hanya ketawa sambil menutup bibirnya yang manis.
“Seluruh dunia akan kelihatan kabur, dan saat itu barulah
kau benar-benar sendiri” katanya.
“Jadi itu yang kau rasa, sendiri?” aku tidak pasti.
“Seperti berdiri di tengah padang yang luas, dan rumputnya
mulai pudar. Dari hijau, perlahan-lahan jadi putih, kemudian transparen, lalu
jadi hitam dan terus hilang. Rasanya sakit, it depends.” Dia sambung.
Aku diam dan biarkan saja suasana jadi sunyi. Dia keluarkan
kotak rokok dari beg sandangnya, kemudian dia bakar sebatang. Rokok itu dia sedut
dalam, lalu terbatuk-batuk. Aku ketawa melihat dia. Dia mana pernah merokok
sebelum ini.
“Kau malaikat?” aku tanya dia yang sepertinya pening
gara-gara asap rokok yang masih baru bersuai-kenal di paru-parunya.
“Tak. Kan aku sudah bilang yang aku ini orked biru.”
“Ah kau tipu. Orked biru mana mungkin hidup panas-panas
begini.” Aku kata sambil ambil rokok yang dibiarkan di jarinya. Aku sedut rokok
itu dan aku dapat rasa bibirnya pada bibir ku.
“Suka hati kau lah.” Dia jawab antara endah tak endah.
“Jadi, sebelum kau mati, kau apa?” aku tanya dia.
Dia pandang aku. Dalam. Lalu matanya dialihkan jauh ke
langit petang.
“Suzy” dia jawab pendek.
***
Suzy memandang langit yang petang itu entah mengapa dirasakan
berwarna merah, padahal ia tetap biru seperti biasa. Di stesen lrt yang tak
pernah surut dengan manusia itu, dia biarkan saja hatinya melayang jauh. Di
tepinya ada seorang lelaki yang kau tak perlu tahu namanya. Di atas kepalanya
ada halo, dan dia punya sayap warna hitam.
“Begini. Apa kata kita main Rolet Rusia?” tanya lelaki itu.
“Rolet Rusia? Kau gila!” Suzy jawab dengan nada yang
terkejut.
“Come on lah! Suzy yang aku kenal tak akan takut dengan
cabaran” kata lelaki itu yang kelihatan sangat bersungguh.
Suzy diam sekejap. Dagunya diusap lagak pemikir.
“Kalau aku menang?”
“Kalau kau menang, kau cakap saja cinta siapa kau mahu, dan
aku akan panahkan busur ini tepat ke jantungnya, dan dia akan jadi milik kau
selama-lamanya.” Kata lelaki itu sambil menganjurkan busur di tangan kirinya ke
udara.
“Sungguh? Kalau lelaki itu yang aku mahu, macam mana?” Suzy
tunjuk ke arah poster filem di dinding
stesen lrt yang memaparkan seorang mat saleh sedang memegang sepucuk pistol.
“Hey, tak percayakan aku?” tanya lelaki itu.
Suzy senyum. Dia tahu lelaki itu tak menipu.
“Baiklah. Mana pistolnya?” tanya Suzy.
“Nanti, kau tak mahu tahu apa yang jadi kalau kau tewas?”
“Tewas maknanya mati, kan?” jawab Suzy.
“Tak semudah itu” lelaki itu senyum ringkas.
“Habis?” Suzy bingung.
“Tengoklah macam mana” kata lelaki itu sambil mengeluarkan
sepucuk revolver entah dari mana. Sebutir puluru di masukkan, dan dia ………………………………………………………………………………..
(aku tak tahu nak terangkan bagaimana, tapi disini lagak lelaki itu seperti
adegan mengisi peluru dalam filem koboi)
Revolver itu dihulurkan kepada Suzy. Suzy ambil dengan
tenang. Wajahnya langsung tak berekspresi. Tapi jantungnya ada getar, sedikit,
dan ia terlihatkan oleh matanya yang berhenti bersinar.
Suzy halakan revolver itu ke dalam mulutnya, dan tiba-tiba
aku rasa janggal dengan cerita ini kerana orang yang lalu-lalang langsung tidak
perasan. Ah, anggap saja kejanggalan ini sebagai satu lubang hitam yang tak kau
pedulikan.
Jadi Suzy, dia tarik picu revolver.
“BANG!”
Dan kepalanya hancur berkecai.
kata-kata kesat oleh
Sake
Sabtu, 23 Jun 2012
Wayar Dan Ombak Dan Istana Pasir Fara
Beberapa hari lepas, aku terlibat dalam satu kemalangan
jalanraya. Waktu itu aku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai
menduduki kertas Discourse and Profession.
Di simpang keluar universiti, lampu isyarat tunjuk warna
merah. Aku berhenti. Sambil tunggu lampu tukar warna jadi hijau, aku pandang
keliling. Kosong. Entah kemana manusia waktu itu, aku tidak pasti. Yang aku
tahu semuanya kosong, sepertinya ada pesta keramaian di alam lain, dimana semua
orang sedang sibuk menari dengan teman masing-masing, meninggalkan aku sendirian
di simpang keluar universiti.
Jadi lampu merah itu aku putuskan untuk langgar saja.
Tiba-tiba, datang sebuah lori minyak dari sebelah kiri aku.
Laju. Aku yang menunggang skuter dirempuh seperti anak kecil yang ditampar oleh
tangan raksaksa ; kuat dan padu. Aku terpelosok ke bawah lori minyak yang sudah
hilang kawalan, diseret ke pinggir jalan yang seperti aku bagitahu tadi, kosong
tanpa orang. Lori minyak itu meletup, dan aku tidak pasti kenapa. Yang aku
tahu, ia meletup, dan api mulai menyambar tubuh aku.
Perlahan-lahan, aku terbakar, terbakar, dan terbakar. Aku
makin menghangus, seperti ayam yang berbeku yang dibiarkan terlalu lama di atas
pemanggang; terlalu lama hingga aku rentung dan jadi abu.
Dengan izin tuhan, angin monsun datang dan bawa abu mayat
aku terbang. Untuk seketika, aku dapat rasa bagaimana kiranya aku seekor
burung;
terbang bebas meniti
udara,
melihat dunia tanpa dongak
kepala,
meneropong ke setiap
pelusuk yang aku lalui,
ketawa sinis pada bumi
yang sepi,
(walaupun dalam bentuk abu mayat)
***
Angin monsun itu, ia bawa aku ke pantai.
Di pantai, aku ditebarkan ke laut yang luas. Aku mula bersejati
dengan air; menjadi sebahagian dari titis-titis biru, dan membentuk gelombang
yang beralun-alun. Di atas aku, sebuah sampan nelayan berkolek tenang. Aku
lihat seorang lelaki tua menebar jala. Dia sepertinya hampa bila yang sangkut
hanyalah rumpai laut. Aku berdoa kepada tuhan supaya lelaki tua itu jatuh ke
dalam laut dan terjumpa peti harta karun peninggalan lanun. Aku juga berdoa
semoga dia bisa berenang ke daratan.
Sedang aku berdoa, tiba-tiba ribut datang. Dengan
serta-merta, laut jadi gila. Aku yang tadinya hanyalah alunan gelombang tenang
kini sudah jadi ombak besar yang garang. Ribut menghembus angin taufan, dan aku
kini siap sedia untuk menghempas daratan.
Di gigi air, ada seorang gadis sedang membina istana pasir. Gadis
itu, aku tidak tahu apa namanya. Andaikan saja dia Fara, seorang pelajar
jurusan Bahasa Inggeris yang sedang menuntut di UiTM.
Jadi Fara; dia begitu asyik dengan istana pasirnya. Tanpa
dia sedari, aku sedang menghampirinya dari tengah laut dalam bentuk gulungan
ombak yang ganas. Aku cuba jerit “Fara! Fara!” agar dia dengar. Tapi dia
terlalu memberikan perhatian pada dekorasi tembok istana. Aku pula semakin
deras dan meninggi, sedia untuk menghempasnya bila-bila masa dari saat itu.
“Gebushhhhhhhhh!”
Istana pasir Fara hancur dalam sekelip mata. Fara pula
terkapai-kapai cuba menarik diri ke daratan. Tapi aku terlalu kuat. Dan seperti
Fara, aku juga turut hilang kawalan terhadap diri sendiri. Selang beberapa
saat, Fara semakin tenggelam. Udara untuknya mulai putus. Fara melemah dan melemah.
Dia akhirnya lemas, dan aku hanya mampu memeluknya sambil membiarkan saja dia mati
dalam dakapanku.
***
Kini sudah tiga hari Fara mati. Dia sedang terapung dihanyut
arus yang gelincir. Aku harap mayatnya tidak ditemui, kerana aku sedang tunggu
dia mereput. Nanti bila dia larut, kami akan bersatu. Dan kami –aku dan Fara –
akan jadi ombak yang paling kuat. Mungkin dalam setahun dua, kami akan cuba
untuk melemaskan kanak-kanak yang berlari riang di pesisir pantai. Kanak-kanak
itu nanti, andaikan saja namanya Cheng.
kata-kata kesat oleh
Sake
Selasa, 5 Jun 2012
Bitch Si Penunggang Skuter Dengan Jaket Belang, Mata Forlorn, dan Helmet Kura-kura
Pernah sekali, lebih kurang pukul empat pagi, aku keluar pergi makan dengan Badrul dan John.
Okaylah aku malas nak cerita tentang makan. Jadi dipendekkan cerita, waktu pulang, aku memandu. Badrul dan John tidur nyenyak dalam kereta.
Sampai di satu lampu isyarat yang lamanya ya-tuhan-lama-betul, aku cucuh rokok sebatang. Tiba-tiba ada satu susuk berjaket belang dengan seluar jeans skinny dan helmet kura-kura menunggang skuter berhenti di tepi. Aku, -sebagai manusia bertamadun yang anti kapiatalisma dan cintakan seorang gadis yang aku pasti dia tidak sedari kewujudanku-, curi-curi pandang. Dan apa yang aku lihat adalah seorang bitch bermata forlorn yang cantiknya lebih kurang macam Jenny Lee Lindbergh.
Jadi, di lampu isyarat yang sepertinya tidak mahu hijau itu, aku terpana.
Rokok yang terkepit di jari aku biar berasap. Lagu di radio lantas memenuhi atmosfera, membentuk satu situasi embien yang gayanya semacam poppalagio: asyik dan khayal.
Masa terus berdetak dan bumi terus berputar, tapi kami: aku dan bitch si penunggang skuter dengan jaket belang, mata forlorn, dan helmet kura-kura (dan Badrul dan John yang sedang tidur) tertinggal di situ, di lampu isyarat yang selalu merah dan merah dan merah dan merah.
Lima tahun kemudian, lampu isyarat itu tiba-tiba bertukar hijau. Badrul dan John aku lihat masih nyenyak tidur (atau mungkin sudah mati). Bitch si penunggang skuter dengan jaket belang, mata forlorn, dan helmet kura-kura aku lihat mulai pergi,
menuju ke hadapan,
lalu dengan lemah-lembut,
bertukar menjadi seekor rama-rama berwarna oren,
mengepak sayap,
terus ke awangan.
Dan aku yang sepertinya baru ditembak tepat di kepala dengan shotgun, perlahan tekan pedal minyak, lalu belok ke kiri.
kata-kata kesat oleh
Sake
Jumaat, 18 Mei 2012
Gadis Bercermin Mata Bulat Dengan Iris Yang Samar-samar Kelihatan
Waktu mahu buka pintu rumah, aku teringat yang rokok surya aku tertinggal di kedai makan. Jadi aku cepat-cepat start motor dan bergegas ke kedai. Rokok dalam kotak masih banyak. Sayang.
Sampai di kedai, aku pandang meja yang terletak di penjuru.
Ada.
Nasib baik.
Perlahan aku turun dari motor dan bergerak ke arah meja. Aku ambil kotak rokok lalu masukkan dalam kocek seluar, cuba untuk beredar secepat mungkin.
Tiba-tiba ada satu suara tegur aku dari belakang.
Itu kuncinya tak nak ambik sekali ke?
Suara milik seorang gadis bercermin mata bulat dengan iris yang samar-samar kelihatan.
Oh. Kunci tu, aku sengaja tinggal.
Tinggal? Kenapa?
Sebab aku tak jumpa mana pintunya. Kunci sia-sia.
Alah, bawaklah balik. Mana tahu lepas ni jumpa?
Takpelah. Aku dah malas.
Jadi tinggalkan saja disitu?
Yep.
Dia yang seperti kasihan, ambil kunci itu lalu cuba di pintu hatinya.
Tak padan.
Kan aku dah kata?
Hmm.Jadi, tinggalkan disini?
Tinggalkan saja.
Dia biarkan kunci itu di atas meja, lalu berlalu pergi sambil bibirnya perlahan menyanyi lagu Tired of Sex dari Weezer.
Sampai di kedai, aku pandang meja yang terletak di penjuru.
Ada.
Nasib baik.
Perlahan aku turun dari motor dan bergerak ke arah meja. Aku ambil kotak rokok lalu masukkan dalam kocek seluar, cuba untuk beredar secepat mungkin.
Tiba-tiba ada satu suara tegur aku dari belakang.
Itu kuncinya tak nak ambik sekali ke?
Suara milik seorang gadis bercermin mata bulat dengan iris yang samar-samar kelihatan.
Oh. Kunci tu, aku sengaja tinggal.
Tinggal? Kenapa?
Sebab aku tak jumpa mana pintunya. Kunci sia-sia.
Alah, bawaklah balik. Mana tahu lepas ni jumpa?
Takpelah. Aku dah malas.
Jadi tinggalkan saja disitu?
Yep.
Dia yang seperti kasihan, ambil kunci itu lalu cuba di pintu hatinya.
Tak padan.
Kan aku dah kata?
Hmm.Jadi, tinggalkan disini?
Tinggalkan saja.
Dia biarkan kunci itu di atas meja, lalu berlalu pergi sambil bibirnya perlahan menyanyi lagu Tired of Sex dari Weezer.
kata-kata kesat oleh
Sake
Jumaat, 11 Mei 2012
Jatuh
Burung kecil yang berwajah kuda belang dan memakai jersi Villareal itu hinggap di bahu aku. Perlahan paruhnya merapat ke telinga aku yang sebelah kiri, lalu dia bisik.
Lupakan saja.
Kenapa?
Nanti kau jatuh lagi.
Jatuh?
Yelah, jatuh.
Kalau jatuh kenapa?
Aku takut kau tak akan bangun.
Hey jangan lah bimbang, kan aku dah biasa jatuh?
Ya aku tahu. Sekadar nasihat. Kau yang jatuh, bukannya aku.
Hmm. Jadi berapa kali harus aku jatuh sebelum aku dapat terbang dengan dia?
Jangan tanya aku. Aku bukan tuhan. Aku hanya seekor burung.
Hmm.
Masa berhenti. Aku tenung skrin telepon bimbit kuning lama-lama. Ucapan "selamat malam" yang aku taip tadi, patut aku hantar atau tidak?
Lupakan saja.
Kenapa?
Nanti kau jatuh lagi.
Jatuh?
Yelah, jatuh.
Kalau jatuh kenapa?
Aku takut kau tak akan bangun.
Hey jangan lah bimbang, kan aku dah biasa jatuh?
Ya aku tahu. Sekadar nasihat. Kau yang jatuh, bukannya aku.
Hmm. Jadi berapa kali harus aku jatuh sebelum aku dapat terbang dengan dia?
Jangan tanya aku. Aku bukan tuhan. Aku hanya seekor burung.
Hmm.
Masa berhenti. Aku tenung skrin telepon bimbit kuning lama-lama. Ucapan "selamat malam" yang aku taip tadi, patut aku hantar atau tidak?
kata-kata kesat oleh
Sake
Jumaat, 4 Mei 2012
Heima
Waktu kau tanya aku bagaimana aksara-aksara yang putih itu dieja, mahu saja aku bisik di telinga kanan kau (dengan yakin)- heima- dan bagitahu kau maknanya "di rumah".
Dan kau pasti akan ulang, sekurang-kurangnya dua kali.
Heima?
Heima.
Dan aku akan ketawa kecil sambil tatap mata kau yang bila aku pandang itu, aku lihat syurga (sebab aku nampak kanak-kanak berbaju putih berlari riang).
Kemudian, mahu saja aku terus terang dengan kau, katakan yang kau buat jantung aku berdegup kencang seperti ada hamster berlari di dalamnya.
Kau buat darah aku mengalir laju.
Kau buat masa aku bergerak perlahan.
Mahu aku waktu itu, kau saja.
Tapi aku hanya mampu kaget, hilang arah oleh tutur kau yang spesifik untuk aku; lelaki yang _______ (kau rasa?).
Heima yang aku sebut itu, aku tak pasti sama ada kau dengar atau tidak.
Dan kau pasti akan ulang, sekurang-kurangnya dua kali.
Heima?
Heima.
Dan aku akan ketawa kecil sambil tatap mata kau yang bila aku pandang itu, aku lihat syurga (sebab aku nampak kanak-kanak berbaju putih berlari riang).
Kemudian, mahu saja aku terus terang dengan kau, katakan yang kau buat jantung aku berdegup kencang seperti ada hamster berlari di dalamnya.
Kau buat darah aku mengalir laju.
Kau buat masa aku bergerak perlahan.
Mahu aku waktu itu, kau saja.
Tapi aku hanya mampu kaget, hilang arah oleh tutur kau yang spesifik untuk aku; lelaki yang _______ (kau rasa?).
Heima yang aku sebut itu, aku tak pasti sama ada kau dengar atau tidak.
kata-kata kesat oleh
Sake
Langgan:
Catatan (Atom)